Bajet 2024: Bung Moktar Harap Peruntukan Besar Diberikan Untuk Pembangunan Sabah

KOTA KINABALU, 13 Okt – Bajet 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur terutama di Sabah khususnya di kawasan luar bandar selain menangani kenaikan harga barangan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap melalui bajet itu, kerajaan dapat mengambil langkah berkesan dalam membangunkan negeri terbabit seperti dijanjikan sejak sekian lama, terutama dalam aspek pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dalam arus pembangunan perdana.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi fokus dalam memajukan Sabah dengan menaik taraf infrastruktur seperti memperbanyakkan jalan raya berturap, bekalan air bersih dan elektrik yang antara isu pembangunan agak kritikal membelenggu kehidupan rakyat.

“Bagi melengkapkan kemudahan asas ini sudah tentu memerlukan satu peruntukan yang agak tinggi kerana ianya melibatkan tiga komponen insfastruktur asas. Justeru menjadi harapan rakyat Sabah dalam belanjawan kali ini Sabah akan memperoleh peruntukan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya bagi memastikan infrastruktur asas dapat ditingkatkan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian memaklumkan mengenai harapannya selaku Ahli Parlimen dalam Bajet 2024 yang bakal dibentang petang ini.

Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Nor memberikan jaminan isu infrastruktur asas jalan raya, air dan elektrik akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, namun ia bukanlah sesuatu yang mudah dengan kekangan kewangan sekiranya tanpa bantuan dari kerajaan pusat.

Ini kerana katanya, tiga isu besar ini memerlukan kos peruntukan kewangan yang tinggi sesuai dengan keluasan Sabah.

Selain itu Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berharap kerajaan pusat akan memberikan peruntukan untuk meneruskan pelaksanaan pakej lebuhraya Pan Borneo yang masih belum dilaksanakan selain menyiapkan projek-projek yang terbengkalai.

“Sistem perhubungan yang baik akan menjadi akses bagi pergerakan keluar masuk antara daerah ke daerah termasuk dari negara jiran Brunei dan di Sarawak malah kita perlu bersedia apabila jalan raya antara Kalabakan ke Serudung siap yang akan menghubungkan ke Si Manggaris di Kalimantan iaitu dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang bakal membawa perubahan dan pendapatan kepada rakyat tempatan,“ katanya.

Selain itu Bung juga berharap dalam Bajet 2024 kerajaan akan turut mengkaji kadar peruntukan setiap Ahli Parlimen kerajaan yang kini sekitar RM2 juta setahun untuk satu kawasan Parlimen.

“Peruntukan ini agak kecil untuk membangunkan satu kawasan Parlimen berbanding dengan keluasan dan keperluan rakyat terutamanya dari segi penyediaan infrastruktur asas. Bayangkan bagi kawasan Parlimen Kinabatangan sahaja ianya seluas negeri Pahang maka peruntukan yang ada agak sukar untuk memenuhi keperluan pembangunan untuk rakyat.

“Justeru kerajaan perlu mengambil kira faktor ini dengan menambah jumlah peruntukan untuk setiap Ahli Parlimen kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu Bung juga berharap Bajet 2024 juga akan memperkenalkan inisiatif-inisaitif berkesan dalam menyelesaikan kenaikan harga barang yang dilihat semakin membebankan pengguna terutama melibatkan makanan dan keperluan harian.

“Kita harap dalam Bajet 2024 kerajaan dapat mencari inisiatif terbaik, kerana sejak akhir-akhir ini isu kenaikan harga barang sangat ketara dan membebankan rakyat terutamanya B40,” katanya.

Beliau turut memberi cadangan supaya Bajet 2024 memperkenal insiatif untuk menggalakkan lebih ramai peniaga melaksanakan promosi jualan barangan keperluan seperti Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan kerajaan dengan diperluaskan ke kawasan luar bandar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit