Usaha Kurangkan Kesesakan Jalan Raya Pada Waktu Puncak Diberi Keutamaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa usaha mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu kemuncak khususnya di Lembah Klang telah dibincangkan dan inisiatif bagi usaha tersebut dibuat bagi keselesaan rakyat.

Katanya, dalam usaha untuk menangani masalah kesesakan jalan raya, beliau turut mengesyorkan agar satu legasi baharu diwujudkan bagi mencari penyelesaian terbaik berdasarkan data dan kajian imperikal oleh pelbagai agensi yang terlibat.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua agensi yang terlibat yang telah mencari pelbagai jalan bagi bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta strategi untuk memastikan isu kesesakan serta keselamatan jalan raya sentiasa diberi keutamaan demi keselesaan rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu, hari ini beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya yang membincangkan pelbagai isu dan inisiatif berkaitan hal terbabit.

“Tumpuan perbincangan merangkumi cadangan untuk menggabungkan dua Jawatankuasa Kabinet dibawah Kementerian Pengangkutan iaitu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya dan Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya, Cadangan Pelan Tindakan Menangani Kesesakan Jalan Raya di Lembah Klang serta Pencapaian dan Kemajuan Inisiatif Keselamatan Jalan Raya 2023.”

Dalam hal ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO telah menyambut baik syor-syor yang dikemukakan iaitu:

• Mengurus trafik dengan memberi keutamaan kepada pengangkutan awam (penyediaan Laluan Khas Bas);
• Mengenal pasti lokasi bandar/laluan utama untuk penyediaan sistem pengangkutan awam (network planning);
• Menambah baik tempat menunggu bas yang selesa dan selamat dengan sistem maklumat bas serta menambahbaik akses/kemudahan pejalan kaki ke stesen bas/rel;
• Menyediakan park & ride di kawasan persempadanan Kuala Lumpur – Selangor; dan
• Membangunkan aplikasi Mobility as a Service (MaaS) yang akan menjadi aplikasi tunggal untuk semua mode pengangkutan awam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.