Pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan Prihatin Isu Felda – Jalaluddin

SEREMBAN, 12 Okt – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalalauddin Alias berkata pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengambil berat dan prihatin isu serta permasalahan yang dihadapi oleh generasi Felda di Negeri berkenaan.

Menurut beliau pihak Felda bersama agensi teknikal yang lain telah mengadakan beberapa siri libat urus secara bersama bagi mengeluarkan satu garis panduan dan terma rujukan di dalam pelaksanaan lot generasi kedua Felda di negeri itu.

“Selain itu Felda telah mengadakan sesi taklimat kepada pengurusan dan generasi di rancangan bagi menerangkan proses dan kaedah pelaksanaan LGF ini bagi mengelakkan kekeliruan di peringkat bawahan pada tahun 2022.

“Yang ini saya nak ucap tahniah kepada MB kerana telah melaksanakan dan memperkenalkan pemberian lot tanah kediaman bagi generasi baharu Felda yang telah dimulakan di daerah Jempol dengan lokasi khusus iaitu di Felda Palong 12,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15, hari ini.

Tambah Jalalauddin lagi, pemberian lot tanah ini adalah bagi lot kediaman dengan jumlah 4,000 kaki persegi dan pemberian ini adalah untuk mengisi keperluan generasi kedua, ketiga dan keempat Felda.

“Masalah kita sekarang ini kita kena siapkan dan kenal pasti terlebih dahulu lokaliti kawasan yang sesuai untuk diberikan di seluruh 49 kawasan Felda di Negeri Sembilan. Apabila sudah dikenal pasti barulah kita pergi ke fasa kedua untuk membuat proses bagi mendapatkan agihan kepada generasi kedua.

“Generasi kedua Felda ini pula kita nak tengok semua… kalangan guru tidak ada masalah, kalangan peniaga tidak ada masalah, mereka yang mempunyai kerjaya tertentu tidak ada masalah. Masalah kita sekarang ini untuk mengisi keperluan serta permintaan kepada generasi kedua, ketiga dan keempat Felda yang memerlukan.

“Sebagai contoh kerjaya seperti pemandu lori umpamanya, pekerja ladang dan sebagainya. Yang ini kita mahu beri tumpuan dan insya-Allah apabila semuanya selesai maka penyediaan lot-lot generasi kedua Felda ini dapat kita laksanakan di Negeri Sembilan melalui fasa-fasa tertentu, insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.