Pemberian Biasiswa Kepada Pekerja SPAN, Tingkatkan Motivasi Dan Pelaburan Jangka Masa Panjang Negara

 

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberikan biasiswa kepada pekerja di dalam industri perkhidmatan air.

Namun katanya, untuk meningkatkan kualiti pemberian biasiswa, beliau mencadangkan agar kuasa penuh yang diberikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilengkapi dengan semakan dan keseimbangan yang sesuai.

“Sudah pastinya inisiatif (biasiswa kepada pekerja) ini bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi para pekerja bahkan merupakan satu pelaburan jangka masa panjang untuk meningkatkan tenaga kerja berprestasi tinggi yang diperlukan oleh negara.

“Oleh itu, cadangan saya adalah untuk menubuhkan satu panel atau jawatankuasa penilai yang terdiri daripada wakil suruhanjaya itu sendiri serta pakar industri yang berkaitan.

“Dengan langkah ini, kita dapat memastikan bahawa pemilihan calon yang layak untuk menerima biasiswa dapat dilakukan dengan lebih teliti dan efisien, sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berprestasi tinggi.

“Ya, saya faham dengan adanya kuasa ini, ianya membolehkan Suruhanjaya menjalankan tugasnya dengan efisien dan mempunyai fleksibiliti dalam pengurusan tenaga manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu beliau juga turut menyentuh berkenaan perubahan berkaitan tempoh penggal ahli suruhanjaya.

Katanya, tempoh penggal ahli suruhanjaya yang telah dipendekkan dari 10 kepada enam tahun adalah langkah positif kerana suruhanjaya akan fokus dengan lebih khusus dan selaras dengan kepakaran yang mereka miliki.

“Dalam masa yang sama, pindaan ini juga membuka peluang yang lebih luas kepada para pakar untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dengan suruhanjaya. Walau bagaimanapun, kita harus sentiasa berhati-hati supaya perubahan ini tidak mengorbankan kesinambungan dan kelestarian suruhanjaya.

“Oleh itu, dalam menetapkan tempoh perkhidmatan ahli suruhanjaya, kita perlu memberi tumpuan utama kepada kelangsungan organisasi dan kebolehan untuk meneruskan perancangan jangka panjang.

“Ini penting agar segala usaha dan rancangan yang telah dibuat dapat diteruskan dan diperbaiki dari semasa ke semasa,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.