Alhamdulillah, Isu Palestin Satukan Semua Tanpa Mengira Ideologi Politik – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 12 Okt –Konflik terkini di Semenanjung Gaza yang melibatkan rakyat Palestin dan rejim Zionis masih berterusan sejak 7 Oktober lepas dengan mengakibatkan korban ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Dalam hal ini, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang Malaysia sepakat menyokong perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut hak dan kedaulatan mereka yang ditindas oleh rejim zionis Israel.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan kesyukuran atas kesepakatan ahli-ahli Parlimen yang tanpa mengira ideologi dan sempadan parti politik dalam menyokong Palestin.

“Alhamdullillah! Isu Palestin menjadi isu yang menyatukan semua tanpa mengira ideologi politik dan melangkaui sempadan parti. Turut hadir bukan sahaja Ahli-Ahli Parlimen BN, PAS bahkan DAP termasuk YB Howard Lee dan YB Nga Kor Ming,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran menerusi laman Facebooknya selepas Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berterima kasih kepada kerajaan negara ini atas sokongan teguh tidak berbelah bagi terhadap rakyat wilayah itu, di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyerahkan sumbangan awal RM1 juta daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin kepada Walid Abu, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk Palestin akibat konflik tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.