Pasca Pelangai: Rakyat Semakin Yakin Dan Iktiraf Kerajaan Perpaduan – Suhaimizan

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai adalah pengiktirafan bahawa rakyat semakin yakin dengan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sokongan rakyat Pelangai  memberi keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan sekali gus menjadi wadah terbaik untuk memajukan dan memakmurkan negara.

“Alhamdulillah… kemenangan milik BN, rakyat Pelangai beri sokongan yang padu dan mengiktiraf kerajaan hari ini iaitu rakyat semakin yakin dengan Kerajaan Perpaduan sekali gus menjadi wadah terbaik bagi memajukan dan memakmurkan negara.

“Sokongan warga Pelangai terhadap Perikatan Nasional (PN) telah pun semakin pudar kerana parti tersebut sering memainkan sentimen agama. Terima kasih kepada seluruh jentera parti dan pasukan petugas pilihan raya serta anggota keselamatan yang memastikan proses ini berjalan dengan lancar,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengharapkan momentum kemenangan Pelangai yang memberi bukti kekuatan parti perlu diteruskan khususnya dalam menghadapi PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman.

“Insya Allah… dengan momentum kemenangan BN di Pelangai ini akan dibawa ke PRK Parlimen Kemaman dan kita harap rakyat khususnya di Terengganu akan kembali beri kepercayaan kepada kepimpinan parti,” katanya lagi.

Terdahulu, BN mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada PRK kali ini, dalam pertembungan tiga penjuru menerusi Amizar memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan PN yang diwakili Kasim Samat mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

PRK kerusi berkenaan diadakan selepas penyandang kawasan itu diisytihar kosong susulan kematian Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Ogos lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.