Ketua Penerangan UMNO Empat Peringkat Perlu Main Peranan, Salurkan Maklumat Tepat – Mohd Rafi

LABUAN, 11 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menjelaskan Penerangan UMNO di semua peringkat Bahagian, Wanita Pemuda dan Puteri termasuk di peringkat cawangan-cawagan perlu bergerak sebagai satu entiti bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasaran.

Katanya, kaedah atau strategi komunikasi UMNO bukan sahaja perlu berubah, malah perlu disesuaikan mengikut perkembangan semasa politik hari ini supaya ia menepati kumpulan sasaran.

Menurutnya dalam era ledakan teknologi maklumat masa ini, pendekatan baharu wajar dilakukan oleh UMNO khususunya jawatankuasa Biro Penerangan dalam menghadapi cabaran dunia media baharu haru ini

“UMNO perlu bermuhasabah dan melaksanakan penambahbaikan dalam memastikan fungsi serta peranan penerangan parti itu terus menjadi medium terpenting bagi menyebarkan maklumat parti kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua-ketua Penerangan UMNO bahagian Labuan empat peringkat di sini, kelmarin.

Menurut Mohd Rafi, Penerangan UMNO perlu sentiasa peka dan cakna terhadap isu semasa, terutamanya isu-isu yang ditularkan di media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab apabila UMNO menjadi sasaran sehingga boleh menjejaskan kredibiliti, imej parti dan pemimpin UMNO.

“Jangan membiarkan isu-isu yang ditularkan terutamanya di media sosial begitu sahaja apa lagi berita yang berunsurkan fitnah dan provokasi, mengaitkan pemimpin dan parti tanpa menjawab dengan fakta.

“Jika kita (penerangan) tidak bertindak balas, berdiam diri maka seolah-olah mengiakan dan ini akan menimbulkan persepsi negatif kepada umum yang akhirnya turut menjejaskan imej serta kekuatan parti,” katanya.

Tambah Mohd Rafi UMNO khususnya penerangan, perlu terus bersiap sedia dan jentera penerangan mestilah sentiasa membangunkan strategi komunikasi politik selaras dengan arus peredaran masa.

Menurut beliau Penerangan UMNO perlu mempunyai satu pasukan yang mantap baik media cetak atau media baharu seperti Facebook, TikTok, Instagram, Blog, media ‘online’ dan sebagainya bagi menyalurkan sebarang maklumat berhubung dengan program parti, program-program kerajaan dan isu-isu semasa.

“Selain mengenai situasi politik semasa, maklumat mengenai isu-isu lain seperti ekonomi dan sebagainya juga perlu disampaikan agar rakyat faham,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rafi menggesa agar ketua-ketua penerangan terbabit mempersiapkan diri dengan pengetahuan serta ilmu agar maklumat yang disampaikan dapat memberi kesan positif. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.