KDN Komited Beri Kesedaran Kepada Orang Awam Risiko Terjebak Pinjaman Daripada ‘Ah Long’

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya sentiasa komited dalam memberi kesedaran kepada orang awam berkenaan risiko terjebak dengan pinjaman daripada ‘ah long’ atau ceti haram.

Menurut beliau, meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memberikan bantuan secara khas kepada peminjam ah long namun akan bertindak melindungi peminjam sekiranya diancam.

“Pihak polis tidak memberi bantuan secara khas (kepada peminjam ah long), hanya bertindak pantas jika peminjam diganggu. Apa pun yang saya nak sebut, polis akan bertindak pantas dan sentiasa beri kerjasama (kepada peminjam yang diancam atau diugut).

“Polis memang memandang serius dan kita sentiasa meningkatkan kesedaran awam berkaitan isu pinjaman ini supaya mereka meneliti dengan betul sebelum membuat sebarang pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar dalam pada itu berkata kementerian menyedari isu ah long besar mencabar untuk ditangani, namun tindak balas dilakukan agensi penguat kuasa tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Mengulas lanjut, beliau malah berkongsi, rekod pada 2021 menunjukkan 1,067 kes tangkapan dibuat PDRM di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan Seksyen 29(a) Akta 40.

“Pada 2022 pula, jumlah kes adalah 1,009 dan tangkapan juga dibuat sebanyak 1,262 dengan kerajaan turut melaksana pelbagai kaedah untuk memastikan berkaitan kegiatan Ah long dapat ditangani.

“Antaranya kita tingkatkan keupayaan PDRM untuk tangani isu ini termasuk (pemantauan) menggunakan media sosial. Ah long sudah berubah, dulu tampal iklan di stesen bas dan kawasan awam, tetapi kini sudah beralih menggunakan media soaial.

“Di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, kita sudah ada unit korporat siber untuk tingkatkan usaha menangani kes ini, selain kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata isu ah long ini masih berleluasa di negara ini disebabkan adanya permintaan tinggi daripada masyarakat.

Katanya, faktor tawaran pinjaman disediakan ah long lebih mudah dan senang berbanding yang disediakan institusi perbankan dan kewangan berlesen, turut menarik perhatian peminjamnya.

“Hal ini juga disebabkan kesukaran masyarakat untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan serta juga institusi kewangan berlesen (atas faktor kurang kelayakan), maka kegiatan Ah long berleluasa,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.