Himpunan #SolidarityForPalestine: Ayuh Zahirkan Sokongan Jumaat Ini – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama menzahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan serangan dan penindasan dari Regim Zionis dengan bersama-sama hadir dalam Himpunan #SolidarityForPalestine.

Himpunan terbabit yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan diadakan selepas solat, Jumaat di Masjid Negara.

“Insya-Allah Himpunan #SOLIDARITYFORPALESTINE akan diadakan Jumaat ini selepas solat Jumaat di Masjid Negara. Barisan Ketua Pemuda BN dan PH bersama dengan NGO-NGO dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskannya.

“Ayuh beramai-ramai menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus ditindas dan diperlakukan bagaikan tiada langsung nilai kemanusiaan dan hak kepada tanahair mereka sendiri oleh regim Zionis Israel; yang didokong kuasa-kuasa besar yang jelas punya dwi-standard dalam membicarakan soal hak asasi manusia dan hak warga yang merdeka sebagaimana disepakati dalam Resolusi PBB,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam laporan hari ini, penduduk Pa¬lestin di Semenanjung Gaza dihujani bom yang digugurkan jet-jet tempur tentera Israel, menyasarkan bangunan kediaman dan infrastruktur awam, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Serangan dahsyat itu berlaku ketika pegawai-pegawai Rejim Zionis berikrar mengetatkan kepungan ke atas Gaza untuk menghukum penduduknya selepas pejuang Hamas melancarkan serangan besar-besaran dan mengejut ke atas Israel, Sabtu lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.