UMNO Terengganu Sokong Kenyataan Ahmad Zahid, PBB Perlu Main Peranan Selesaikan Konflik Gaza

KUALA TERENGGANU, 10 Okt – UMNO Terengganu menyokong penuh dan berpendirian sama dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO Malaysia bahawa rakyat Palestin mesti dikembalikan hak kebebasannya dan tanah yang dirampas rejim Israel juga perlu dikembalikan kepada penduduk Palestin.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Haji Nik Dir Nik Wan Ku, UMNO Terengganu mengikuti perkembangan konflik yang berlaku di Semenajung Gaza yang mana berlaku peperangan di antara Hamas, Briged Al Qassam dan Israel minggu lalu berlanjutan sehingga hari ini yang mana hangat diperdebatkan di semua saluran kerajaan, parti politik dan juga media.

“Kami berharap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera memainkan peranan Majlis itu bagi menyelesaikan konflik tersebut daripada terus berlarutan.

“Sehubungan dengan itu, kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO agar masyarakat antarabangsa segera memberikan tekanan kepada semua pihak agar peperangan tersebut dapat dihentikan, wajar diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, UMNO Terengganu juga mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya apa yang berlaku sehingga meragut nyawa orang awam serta mengutuk pencerobohan berulang kali terhadap Masjid Al-Aqsa yang ternyata menjadi antara sebab utama peningkatan ketegangan di rantau itu.

“Kami menyeru agar masyarakat antarabangsa menekan serta memaksa Israel menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dibuat dan terang-terang dicabuli oleh Israel.

“Israel juga mesti menghormati resolusi-resolusi antarabangsa yang telah diputuskan melalui PBB dan mengakui hak serta sejarah rakyat Palestin.

“Masyarakat antarabangsa mesti menghalang peristiwa ini daripada menjadi alasan untuk serangan baharu Israel yang mengancam nyawa orang awam Palestin di Gaza,” tegas Ketua UMNO Bahagian Marang itu.

Justeru itu katanya berhubung dengan isu yang sama, UMNO Terengganu menyeru seluruh rakyat Terengganu khasnya dan Malaysia amnya serta seluruh umat Islam dunia mengadakan solat hajat dan doa untuk rakyat dan negara Palestin terhindar daripada kekejaman rejim Israel. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.