UMNO Sabah Laksana Khidmat Terbaik… Jeffery Yakin Rakyat Dapat Buat Penilaian
KOTA KINABALU, 10 Okt – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed yakin bahawa rakyat akan dapat membuat penilaian terbaik berkaitan parti mana yang benar-benar bersama masyarakat lantaran pelbagai perkara berlaku sejak pilihan raya lalu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, rakyat tentunya mahukan yang terbaik khususnya parti yang benar-benar boleh mentadbir dan membawa pembangunan kepada masyarakat.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa melaksanakan khidmat bakti untuk rakyat tanpa mengira latar belakang dan bukan bermusim atau hanya untuk pilihan raya.
“Justeru saya yakin rakyat Sabah akan fikirkan yang terbaik… mana satu kerajaan yang boleh mempertahankan hak-hak rakyat Sabah dengan efektif dan efisyen,” katanya dalam wawancara bersama portal berita Demi Sabah.
Tegas Jeffery, UMNO Sabah hari ini lebih banyak melaksanakan tindakan daripada bercakap.
“UMNO Sabah hari ini adalah lapisan baharu, ramai muka-muka baharu kerana ramai yang sebelum ini telah tiada atau meninggalkan perjuangan parti semasa kita hilang kuasa.
“Saya mahu rakyat Sabah menilai mana yang terbaik. Jika dalam tempoh sebelum ini dilihat gagal, maka kali ini sudah tentu dengan wajah-wajah baharu dan latar belakang pelbagai maka akan dapat memberikan impak yang terbaik untuk rakyat Sabah.
“UMNO/BN Sabah mahu memberikan usaha yang terbaik kepada rakyat malah jika disebut berkaitan gabungan atau kerjasama dengan pihak lain pun, ia akan dilakukan atas dasar jujur serta ikhlas dengan yang penting dapat memberikan kebaikan bukan sahaja kepada parti tetapi rakyat keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online