Sidang DUN Negeri Sembilan: Titah Tuanku Gambarkan Keprihatinan Menyeluruh – Jalaluddin
SEREMBAN, 10 Okt – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, Negeri Sembilan memperlihatkan keprihatinan baginda kepada raktat negeri berkenaan.
“Suka untuk saya petik titah Tuanku yang memuji usaha Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya dalam bidang pertanian, kos sara hidup dan keterjaminan makanan.
“Menjunjung kasih Tuanku atas keprihatinan Tuanku terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan dan jurang antara bandar dan luar bandar di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Untuk makluman rakyat tambah Jalaluddin lagi, Tuanku memperakui dan menyedari akan usaha yang telah dilakukan Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan kos sara hidup dan bekalan makanan untuk rakyat sentiasa di tahap yang baik.
“Tuanku turut memberi contoh mengenai usaha kerajaan memperkenalkan program jualan barang keperluan asas yang membolehkan rakyat membeli barang keperluan pada harga yang lebih murah dari harga pasaran.
“Selaku Exco Kanan Kerajaan Negeri, saya memandang ke hadapan terhadap titah Tuanku mengenai isu kemiskinan tegar di Negeri Sembilan. Insya-Allah di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Negeri Sembilan akan menggerakkan program bersifat membanteras kemiskinan tegar dari semasa ke semasa, agar par kemiskinan rakyat negeri ini bertambah baik.
“Sebagai seorang wakil rakyat, saya menjunjung titah perintah Tuanku agar sentiasa bersifat sensitif terhadap pandangan rakyat melalui pelbagai platform yang tersedia,” ujarnya.
Justeru ujarnya lagi, beliau akan menggunakan media sosial ini sebagai salah satu platform menyampaikan maklumat dan mendapatkan pandangan rakyat.
“Saya juga ingin berpesan kepada rakan-rakan YB dari UMNO-Barisan Nasional agar dapat berbahas dan berhujah di dalam dewan secara profesional dan memberi manfaat kepada rakyat jelata, selari dengan saranan DYMM Tuanku.
“Harapan saya agar kita dapat sama-sama memacu Negeri Sembilan ke arah lebih terkehadapan,” ujarnya lagi.- UMNO Online