Pembentangan RUU KATF Sejarah Baharu Dalam Agenda Pembaharuan Fiskal Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan pembentangan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (RUU KATF) 2023 merupakan satu sejarah baharu dalam agenda pembaharuan fiskal negara.

Menurutnya RUU ini adalah ke arah meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

“RUU ini dijangka dapat menambah baik rangka kerja perundangan kewangan awam dan menjadi pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957. Ini kerana RUU KATF 2023 memberi tumpuan kepada dasar dan strategi kerajaan dalam pengurusan fiskal manakala ATK 1957 menekankan aspek pengurusan dan kawalan kewangan awam.

“RUU KATF 2023 mengandungi 6 fasal dan 2 jadual berteraskan kepada prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab seperti mana undang-undang tanggungjawab fiskal terkini di kebanyakan negara.

“Prinsip tersebut ialah memastikan kestabilan makroekonomi; mencapai dan mengekalkan kemampanan baki fiskal; mencapai dan mengekalkan tahap hutang yang berhemat, dan memastikan pengurusan risiko fiskal yang berkesan,” katanya pada sidang media yang diadakan di lobi Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata selaras dengan prinsip tersebut, kerajaan telah menetapkan empat sasaran antaranya:

(a) Perbelaniaan pembangunan tahunan sebagai peratusan kepada KDNK sekurang-kurangnya 3 peratus;

(b) Baki fiskal sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak -3.0 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun;

(c) Paras hutang sebagai peratusan kepada KDNK sebanyak 60 peratus atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun;

(d) Jaminan kewangan sebagai peratusan kepada KDNK tidak melebihi 25 peratus.

Menurut beliau, penekanan turut diberikan terhadap kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus kewangan awam.

Jelas Ahmad lagi, ini termasuk memastikan kemampanan dasar hasil, keberkesanan perbelanjaan serta pengurusan berhemat hutang dan risiko fiskal.

“Bagi terus meningkatkan aspek ketelusan dalam pelaporan kewangan Kerajaan, beberapa laporan baharu juga akan diterbitkan. Selain itu, fungsi dan peranan Jawatankuasa Dasar Fiskal akan terus diperkukuh bag memastikan pelaksanaan dasar fiskal selaras dengan prinsip pengurusan fiskal bertanggungjawab.

“RUU yang digubal berdasarkan konteks Malaysia in merupakan satu lembaran baharu dalam agenda pembaharuan fiskal negara.

“Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana, kajian semula perbelanjaan awam dan pengenalan Akta Perolehan Kerajaan bagi memastikan nilai faedah terbaik dan kemampanan fiskal jangka masa Panjang,” ujar beliau.

Untuk rekod, RUU KATF ini telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada semalam. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit