Isu Kemanusiaan Sejagat, Palestin Tuntut Solidariti Seluruh Rakyat – Jalaluddin
SEREMBAN, 10 Okt – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata isu-isu kemanusiaan yang melanda Palestin memerlukan solidariti semua pihak dan hakikat itu dapat dilihat di negara ini apabila masing-masing mengetepikan sebarang perbezaan politik yang ada.
Hari ini, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Jalaluddin bangun untuk bersolidariti dan menyokong pendirian Kerajaan Negeri Sembilan yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Menteri Besar.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Perpaduan yang tidak menunggu lama untuk membawa isu ini ke dalam Dewan Undangan Negeri supaya dapat dibincangkan dan bersolidariti bersama antara kerajaan dan pembangkang.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membawa usul ini di dalam Dewan Rakyat pada petang semalam.
“Semalam di Dewan Rakyat, kita dapat melihat satu solidariti yang penuh di antara pihak kerajaan dan pembangkang yang bersatu hati menyokong penuh Palestin dalam isu ini. Bila berkait isu kemanusiaan, kita perlu mengetepikan sebarang perbezaan politik yang ada di antara kita,” katanya ketika berucap menyokong usul yang dibawa Menteri Besar di persidangan DUN, di sini hari ini.
Kata beliau lagi, tindakan zalim, kejam dan ganas yang menimpa rakyat Palestin selama ini tidak boleh dimaafkan sama sekali malah siapa sangka, tanah Palestin yang begitu luas sebelum tercetusnya konflik sudah menjadi kecil-sekecilnya.
“Serangan baru-baru ini yang mengakibatkan lebih daripada 123,000 rakyat Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dan sekitar 74,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan adalah suatu situasi yang amat membimbangkan.
“Pencerobohan demi pencerobohan darat yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza serta pendirian Israel untuk menjadikan Palestin sebagai ‘padang jarak padang tekukur’, sememangnya perlu ditentang.
“Hakikatnya, Israel itu merupakan sebuah negara haram kerana pembentukannya telah menindas dan menganiaya rakyat Palestin sejak beberapa dekad sehinggalah hari ini.”
Tambah beliau lagi, umum mengetahui, Israel sudah lama mengimpikan tanah Palestin dan mahu menjadikannya sebagai negara mereka dengan alasan kepentingan dari segi sejarah kaum mereka.
“Oleh sebab itu, mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai matlamat dan tujuan mereka. Saya percaya, pelbagai lagi tindakan zalim yang akan dilakukan selepas ini. Perkara ini menjadi lebih parah lagi apabila terdapat pihak berkepentingan yang menyorok di belakang Israel dan memberikan sokongan. Rentetan itu, Israel menjadi semakin berani dengan mengambil langkah ekstrem untuk mencapai impian mereka.
“Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sembilan agar bersama-sama memberikan sokongan dan bersolidariti terhadap malapetaka yang menimpa rakyat Palestin.
“Misi-misi bantuan kemanusiaan hendaklah digerakkan dengan segera. Kita juga perlu memperbaharui komitmen Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin seperti mana yang pernah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak, selaku mantan Perdana Menteri Keenam yang telah menjadi Perdana Menteri pertama yang menjejakkan kaki ke lokasi konflik di bumi Palestin.
“Kita juga perlu bersama-sama memberikan sokongan penuh terhadap mana-mana NGO dalam misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan.”
Beliau juga menggesa kepada kuasa-kuasa besar dunia supaya tidak lagi mendiamkan diri dengan menjadi penakut dan pengecut, dengan hanya menjadi pemerhati.
“Mereka ini juga sepatutnya campur tangan dan mempertahankan kedaulatan negara Palestin menerusi PBB, OIC dan sebagainya demi hak asasi manusia,” tambahnya. – UMNO Online