Himpunan Solidariti Bersama Gaza Jumaat Ini, Pemuda UMNO Ajak Satukan Suara


KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengajak masyarakat pelbagai lapisan termasuk yang berbeza ideologi dan fahaman politik untuk sama-sama berhimpun di Masjid Negara selepas solat, Jumaat ini.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, himpunan ini adalah sebagai tanda bersolidariti bersama rakyat Palestin ekoran serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

“Ayuh semua kita ketepikan perbezaan bangsa, agama mahupun perbezaan fahaman politik.

“Kita bersolidariti bersama saudara kita di bumi Gaza Jumaat ini di Masjid Negara. Mereka boleh menekan saudara kita dengan pelbagai ancaman,tetapi mereka tidak boleh mendiamkan suara kita di seluruh dunia!

“Ini masa kita menyatakan sokongan dan memberikan semangat kepada saudara kita yang sedang berjuang demi untuk membebaskan bumi Palestin dari Zionis jahanam. Kita jumpa Jumaat ini,” katanya.

Terkini dilaporkan, Israel mengenakan kepungan menyeluruh di Semenanjung Gaza dan memutuskan bekalan air di wilayah Palestin selain serangan yang masih berterusan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.