Tahniah Ahli-ahli Parlimen, Senada Bersolidariti Perjuangkan Hak Rakyat Palestin – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada seluruh ahli-ahli Parlimen yang bersepakat dalam isu Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, semua anggota Parlimen senada menyokong dan bersolidariti dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Palestin untuk mempertahankan dan mendapatkan kedaulatan hak tanahair mereka yang dicerobohi oleh pengganas Israel.

“Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, pada sesi pagi di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang Malaysia sepakat menyokong perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut hak dan kedaulatan mereka yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Mereka menyatakan kesepakatan itu semasa sesi perbahasan penerangan menteri berhubung Perkembangan Semasa Konflik Palestin-Israel. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.