Peruntukan RM18 Juta Dari Kerajaan Pusat Tolak Dakwaan Ahli Parlimen BN Gagal Bawa Pembangunan – Bung Moktar

KINABATANGAN, 9 Okt – Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan sebanyak RM18 juta untuk kawasan Parlimen Kinabatangan tahun ini, bagi meningkatkan dan menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata peruntukan itu bagi menaik taraf jalan gravel ke jalan konkrit yang kini dalam proses perlaksanaan, membina dewan serba guna baharu pekan Kota Kinabatangan, untuk membina pasar awam baharu dan untuk membina pusat pelupusan sampah di sini.

“Kita memang ada perancangan untuk terus meningkatkan kemudahan infrastruktur asas di kawasan Parlimen Kinabatangan sejak dahulu lagi, justeru agak aneh jika ada pihak mendakwa saya gagal membawa projek pembangunan ke kawasan ini,” katanya semasa ditemui selepas menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di Bukit Garam, di sini, Ahad.

Majlis yang turut dihadiri hampir 2,000 orang penduduk setempat itu turut dihadiri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, Datuk Jafry Arifin; Ketua Wanita UMNO Kinabatangan, Aminah Johan; Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar.

Menurut Bung yang juga ADUN Lamag dakwaan golongan tersebut ternyata tidak berfakta kerana hanya bercakap untuk menaikkan imej dan kepentingan politik mereka tetapi apabila projek dilaksanakan oleh kerajaan pusat mereka terus mendakwa itu adalah usaha mereka.

“Kita akan terus berkerja dan berusaha untuk memohon peruntukan dari Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan khususnya di kawasan ini, tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan dari kerajaan negeri yang menganggap kita sebagai pembangkang walaupun Barisan Nasional (BN) itu adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan,” tambah Bung.

Bung Moktar menambah pada tahun hadapan akan lebih banyak lagi peruntukan dari Kerajaan Persekutuan akan diturunkan di seluruh Sabah.

“Kita jangka lebih banyak lagi infrastruktur akan dibina tahun ini dan peruntukan besar itu disalurkan bagi memastikan semua rakyat menerima faedah daripada kerajaan yang memerintah,” katanya.

Bung juga menjelaskan secara terperinci antara jalan-jalan yang menerima peruntukan untuk dinaik taraf dari jalan gravel ke jalan konkrit ialah simpang jalan menuju Kampung Minusuh, jalan Kampung Linayukan, jalan utama ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entilibon Kampung Sanan, jalan Kampung Penangah, jalan Kampung Tenaga Baru dan jalan Kampung Entiliobon Asal yang kesemuanya terletak di daerah Tongod sementara selebihnya jalan Kampung Sangau, dan jalan Kampung Jaya Baru dalam daerah Kinabatangan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.