Negara-negara Islam Tidak Boleh Lagi Berdiam Diri, Sekadar Kecam Tindakan Rejim Zionis – Khairul Azwan

IPOH, 9 Okt – Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Khairul Azwan Harun berpandangan negara-negara Islam tidak boleh lagi berdiam diri dan hanya sekadar mengecam tindakan keji dan kejam Rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Sudah tiba masanya bagi negara Islam seperti Saudi Arabia, Iran, Mesir, Turki, Qatar, Indonesia termasuk Malaysia bertindak dan bersama membantu rakyat Palestin secara lebih serius untuk memperkuatkan mereka bagi menentang kekejaman Rejim Zionis.

“Segala normalisasi diplomatik dan perdagangan dengan Israel perlu ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Begitu juga katanya, UMNO Bahagian Pasir Salak mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim tersebut kepada rakyat Palestin.

“Kami mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Zionis yang berterusan merampas tanah-tanah dan rumah kediaman milik rakyat Palestin, dan membina penempatan haram bagi penduduk Yahudi selain mengadakan sekatan ekonomi, perjalanan, makanan dan ubatan terhadap rakyat Palestin.

“Rakyat Palestin perlu diberikan kembali hak-hak mereka termasuk hak keluar masuk ke Masjid al-Aqsa serta tempat-tempat suci yang lain tanpa gangguan dan sekatan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, UMNO Bahagian Pasir Salak mengambil inisiatif menggerakkan Tabung Sumbangan Rakyat Palestin bagi membantu mereka yang terkesan dengan kekejaman Israel. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.