Malaysia Tidak Sokong Provokasi Israel, Apartheid Yang Mencengkam Penduduk Palestin – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sebagai negara yang bertunjang kepada prinsip-prinsip kemanusian dan keihsanan, sudah pasti Malaysia tidak menyokong apa jua gerakan atau tindakan yang kesannya akan menyebabkan kehilangan nyawa, khususnya orang awam yang tidak bersalah.

“Sejak sekian lama, telah menjadi resmi di halwa telinga kita, pertempuran sering berlaku antara Palestin dan rejim Zionis, khususnya di Palestin akibat tindakan provokasi dan penindasan berterusan oleh penjajah Israel yang kekal dengan dasar kuku besi dan apartheid yang mencengkam penduduk Palestin.

“Ribuan saudara mara kita di Palestin telah gugur syahid, cedera dan ada yang meringkuk di dalam penjara tanpa perbicaraan yang adil. Ibu bapa kehilangan anak, isteri diputuskan kasih sayang suami dan anak-anak kecil hilang tempat bergantung.

“Insiden terbaru di Palestin amat dahsyat dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar di kedua-dua pihak, selain ribuan yang tercedera dan kerosakan harta benda yang teruk. Adakah ini yang dunia hendak atau nanti-nanti kan?” katanya.

Beliau berkata demikian berhubung dengan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel pada Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata ketegasan Malaysia jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang seringkali dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.

Menurutnya, ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Israel agar menghentikan dasar apartheid, dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

“Perdana Menteri sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 22 September 2023 lalu, telah dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

“Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai 2023 mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas Wilayah Palestin sejak 1967,” ujar beliau.

Ahmad Zahid malah berkata Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

Katanya, penyelesaian ini hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras-teras yang telah saya nyatakan dahulu.

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

“Sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur.

“Sumbangan dan bantuan ini disalur dengan pelbagai cara samada secara dua hala, serantau atau pelbagai hala. Alhamdulillah, setakat ini bantuan kita ini membantu rakyat Palestin tidak pernah terhenti,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu meluahkan penghargaan atas sokongan berterusan dan keprihatinan daripada Ahli-ahli Parlimen mengenai isu Palestin.

“Tatkala timbul isu Palestin, pasti dewan yang mulia ini bergegar dengan suara keramat kesemua Ahli-ahli Dewan menzahirkan solidariti bersama untuk Palestin.

“Kita menjadi satu, senada dan sehati sejiwa menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.