Majlis Ulama UMNO Tuntut Kezaliman Ke Atas Palestin Dihentikan, Kembalikan Hak Mereka

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Majlis Ulama UMNO Malaysia menuntut agar kezaliman ke atas rakyat Palestin dihentikan dan hak mereka dikembalikan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Majlis Ulama UMNO berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersidang segera untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengembalikan hak rakyat Palestin yang dicabul.

“Majlis Ulama UMNO Malaysia ingin menegaskan bahawa rakyat Palestin telah ditindas secara zalim dengan pelbagai tekanan, sekatan dan serangan sejak penubuhan negara haram zionis. Ia merupakan penderitaan dan penodaan perit yang dilalui oleh seluruh lapisan masyarakat Palestin.

“Kegagalan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kekejaman ini sudah tentu akan memanjangkan lagi konflik ini kepada suatu noktah yang tidak berakhir bahkan akan mengorbankan lebih banyak nyawa mereka yang tidak berdosa,” katanya.

Dalam masa yang sama, Majlis Ulama UMNO Malaysia juga menyeru agar para ulama dan seluruh umat Islam terus mendoakan agar Islam dan umat Islam dipelihara serta dikurniakan kemenangan di mana sahaja mereka berada.

Terdahulu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan lebih daripada 123,000 rakyat Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dengan kira-kira 74,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara usulan serangan udara tentera zionis Israel. – UMNO Online

Kenyataan Media Majlis Ulama UMNO 9 Okt 2023

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.