Krisis Palestin-Israel: Malaysia Gesa Badan Serantau, Antarabangsa Adakan Sidang Khas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia akan terus menggesa kesemua badan serantau dan antarabangsa untuk mengadakan sidang atau mesyuarat khas mengenai krisis di antara Palestin-Israel.

Tidak hanya ketika adanya insiden berdarah, sebaliknya kata beliau, gesaan sidang khas itu adalah konsisten pada setiap masa dan akan digerakkan di setiap platform, lapangan, keadaan dan masa.

“Sekali lagi saya ingin tekankan Dasar Luar Malaysia adalah jelas dan konsisten mengenai isu Palestin. Ia tidak akan berubah selagi hak mutlak Palestin tidak dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Penggulungan Berhubung Dengan Perkembangan Semasa Konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan terus bertindak sebagai pemudah cara urusan penyaluran bantuan dengan kadar segera melalui Kementerian Luar Negeri yang mengendalikan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

“AAKRP menyalurkan RM1 juta serta merta. Ini adalah tindakan segera Kerajaan Malaysia. Sebagai tanda solidariti, saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk turut sama menghulurkan sumbangan di dalam tabung yang telah disediakan di luar dewan,” ujar beliau.

Beliau malah menegaskan Malaysia tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel dan ianya konsisten serta jelas.

Menurut beliau lagi jika diamati, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah konsisten mengecam rejim Zionis sebagai pengamal dasar apartheid.

“Jika dunia telah bersatu hati dan bersepakat menghapuskan dasar apartheid di Afrika Selatan, mengapa dan kenapa pendekatan yang sama tidak boleh dibuat ke atas rejim Zionis?

“Ini yang telah ditekankan oleh Perdana Menteri setiap kali mengenai dasar berat sebelah dan tidak adil oleh kuasa-kuasa barat,” tegas beliau.

Ahmad Zahid dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada barisan ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur sesungguhnya kita semua sentiasa bersatu dalam memperjuangkan hak kemanusiaan khususnya terhadap golongan yang ditindas, dizalimi dan teraniaya.

“Dari sanubari hati ini, saya mengucapkan terima kasih di atas persetujuan dan sokongan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat. Amat bersemangat suara dari Ahli-Ali Yang Berhormat menyokong usul dan menyuarakan sokongan ke atas ketetapan-ketetapan yang telah diusulkan tengahari tadi.

“Sudah terang lagi bersuluh, apabila menyentuh isu Palestin, tidak kira dari barisan mana, Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak memerlukan notis panjang untuk berbahas,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.