Kerajaan Teruskan PLKN, Kerangka Baharu Perkasa Modal Insan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dilaksanakan semula mengikut template atau acuan baharu.

Katanya, penting untuk PLKN ini dilaksana kembali dengan penambahbaikkan bagi memperkasa modal insan dalam kalangan generasi muda negara.

“Kerajaan memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada tahun 2021 sudah meluluskan untuk dikaji semula cara baru untuk kita meneruskan PLKN kerana ini amat baik untuk diberikan asas ketatanegaraan kepada belia kita.

“Dan satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mengkaji bagaimana cara untuk kita hidupkan semula PLKN ini tetapi dengan template yang baru.

“Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu menerusi sidang media yang dilakukan, Mohamad berkata pelaksanaan PLKN 3.0 akan dilaksanakan berdasarkan dua fasa.

Fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat yang berlangsung di sekolah menerusi penyertaan mereka dalam badan beruniform.

Manakala bagi fasa kedua dalam kalangan pelajar yang telah selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bersifat lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.

“Itu sebab cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang.

“Manakala kos pelaksanaan PLKN 3.0 dicadangkan tidak melebihi RM100 juta setahun, lebih rendah berbanding lebih RM500 juta setahun sebelum ini.

“Dalam 45 hari latihan, 90 peratus daripada modul adalah untuk latihan sebagai anggota tentera dan 10 peratus latihan kewarganegaraan. Disiplin penting, kita perlu anak muda yang memiliki disiplin tinggi dan latihan ketenteraan ini boleh memberikan semangat jati diri yang kuat kepada anak muda,” ujar beliau.

Mohamad malah memaklumkan, selepas pelatih menamatkan latihan mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.

“Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang mahu masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan jalani latihan asas dan rekrut semula.

“Mereka yang sudah masuk IPTA boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain.

“Di universiti wujud badan uniform yang boleh memberikan peluang mereka untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu jadi bomba, RELA pun memang sudah sedia ada,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.