Aplikasi UMNO Bersama Rakyat Tanpa Noktah… Perjuangan Untuk Implikasi Masa Hadapan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 9 Okt – UMNO Bahagian Lahad Datu sedar bahawa setiap tindak tanduk berkepentingan ada implikasi kepada masa depan, namun perjuangan sebenar adalah aplikasi untuk sentiasa berkhidmat kepada rakyat.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul yang terus memimpin gerak kerja berpasukan dalam semangat kekeluargaan sebagai usaha kesinambungan perjuangan UMNO.

Jelasnya, UMNO tidak pernah kekurangan pemimpin malah amanah yang tergalas atas setiap anggota parti dilaksana sebaik mungkin agar perjuangan dan masa hadapan yang lebih baik bersama parti.

“Namun, pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Lahad Datu, baik dari Timbalan, Naib, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan Ketua-Ketua Cawangan, tidak pernah membuat cara seperti Maharaja Rome Septimius Severus, menjatuhkan empayar Romawi melalui fitnah, kekerasan dan putarbelit untuk mendapatkan kuasa.

“Kami UMNO Bahagian Lahad Datu, tidak kekurangan pemimpin, baik dari DUN Kunak, DUN Silam, DUN Segama, dan DUN Tungku, yang sentiasa peka soal keperluan rakyat dan pembangunan setempat.

“Sebut saja apa masalah rakyat. Baik dari kebakaran, banjir besar, jambatan rosak, jalan rosak, budak sekolah, budak masuk universiti, kematian, sakit, sukan, keluhan NGO dan lain-lain maka UMNO Bahagian Lahad Datu pasti membantu.”

Kerana katanya, inilah cara UMNO berpolitik iaitu sentiasa melaksanakan khidmat bakti dan peka atas masalah rakyat.

Terdahulu beliau telah menyantuni anak-anak UMNO Bahagian Lahad Datu yang dapat menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi baru-baru ini.

Katanya, UMNO sentiasa menyokong usaha pembelajaran dan meningkatkan pendidikan kerana ia adalah cara utama untuk meningkatkan taraf hidup dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

Jelas Sharif Musa, UMNO Bahagian Lahad Datu terus berkembang dan mendapat sokongan dari akar umbi termasuklah permohonan keahlian dan pembukaan cawangan baharu.

“Antaranya ialah dari Kampung Batik yang diketuai Norhami Hasbi memohon untuk buka Cawangan UMNO Belia dengan melibatkan seramai 72 ahli. Alhamdulillah. Saya telah menerima permohonan ini dengan hati terbuka dan sah. Terima kasih.”

Dalam perkembangan berlainan, beliau memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan mengadakan sukan tahunan rakyat yang bakal melibatkan pelbagai aneka suka untuk turut disertai.

“Justeru, masyarakat pelbagai peringkat di sini dijemput untuk sama-sama menjayakan dan menyertai acara sukan tahunan rakyat ini dengan mendaftar di pejabat bahagian. Inilah ruang dan peluang bagi kita merakyatkan UMNO kerana UMNO adalah milik bersama,” katanya lagi kepada UMNO Online. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.