Ahmad Zahid Zahir Kesyukuran Jambatan Sultan Nazrin Shah Dirasmikan Hari Ini

BAGAN DATUK, 7 Okt – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran atas perasmian nama Jambatan Sultan Nazrin Shah telah disempurnakan perasmiannya hari ini.

Jambatan tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

“Alhamdulillah, jambatan yang dinanti oleh warga Bagan Datuk dan diberi nama Jambatan Sultan Nazrin Shah telah disempurnakan perasmiannya hari ini oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

“Sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, saya bersyukur kerana projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ini berjaya disiapkan bagi menyediakan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti melalui penyediaan infrastruktur berkualiti,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, sebelum ini, pengguna jalan raya dari Sitiawan perlu melalui Jalan Hutan Melintang ke Bagan Datuk yang mengambil masa lebih satu jam dengan jarak perjalanan melebihi 50 km.

“Dengan siapnya jambatan ini, ia akan memendekkan perjalanan dari Sitiawan ke Bagan Datuk dengan jarak perjalanan hanya 10.5 km yang mengambil masa 15 minit sahaja. Jambatan ini turut menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan bandar-bandar utama seperti Lumut, Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

“Sebagai Menteri KKDW juga, saya akan terus memberikan komitmen penuh terhadap usaha untuk meningkatkan kemajuan dan pembangunan di kawasan perdesaan seperti di Bagan Datuk ini.

“Saya berharap, kelak Daerah Bagan Datuk akan terus berkembang maju dari sudut sosio-ekonomi dan infrastruktur dan menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi di negara ini
Semoga Negeri Perak Darul Ridzuan di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan akan terus maju jaya, aman, makmur dan sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.