Akmal Ikrar Beri Kerjasama Pada KPDN, Lawan Kartel Beras

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan bahawa beliau akan memberikan kerjasama sebaiknya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkenaan dakwaannya sebelum ini mengenai kewujudan kartel beras.

Katanya, segala bukti-bukti ada pada dirinya dan ianya juga sebelum ini telah diserahkan kepada Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

“Terima kasih Datuk Armizan Mohd Ali selaku pemangku menteri KPDN, saya sejujurnya bersedia dan akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya untuk memberikan segala bukti yang ada pada saya untuk membantu KPDN untuk menjalankan tugas.

“Dan untuk makluman juga semua makluman itu telah saya serahkan juga kepada pengarah kawal selia padi dan beras agar siasatan itu dapat dilakukan dengan baik.

“Insya-Allah kita berani untuk bagi segala bukti sebab hendak lawan kartel ni betul-betul, berani kerana benar,” katanya menerus satu hantaran di Facebook.

Pada Isnin, Akmal seperti dilaporkan mendakwa adanya kartel beras yang menggunakan modus operandi menjual beras tempatan sebagai beras hancur, kerana beras hancur boleh dijual dengan harga bukan kawalan.

Perkara tersebut mendapat respon daripada Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali yang berkata pihaknya memandang serius terhadap sebarang aduan berhubung kewujudan kartel beras.

Armizan malah mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Bahagian Penguatkuasaan KPDN menghubungi Akmal bagi mendapatkan maklumat dan sebarang bukti untuk membantu siasatan lanjut dakwaan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.