Taksub Melampau, Punca Lima Jawatan Utama Pas Tidak Dipertandingkan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Ketaksuban melampau kepada pemimpin menjadi sebab utama mengapa lima jawatan utama Pas tidak dipertandingkan pada pemilihan parti pada kali ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Pas mendabik dada dan bangga kerana tiada pertandingan pada jawatan-jawatan tersebut, sekaligus menganggap partinya stabil.

“Pas teramat bangga kerana lima jawatan utama tiada pertandingan. Pas mendabik dada ia adalah parti paling stabil.

“Sebenarnya budaya ‘taksub’ pada pemimpin jadi punca kenapa tidak ada siapa yang berani bertanding lima jawatan teratas itu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, ahli-ahli Pas menganggap bahawa kejayaan gelombang hijau adalah disebabkan kehebatan lima pemimpin tertinggi parti.

“Ahli Pas taksub tahap tinggi. Pada mereka kejayaan gelombang hijau adalah kerana kehebatan luar biasa lima pemimpin teratas itu.

“Mereka jadi takut menyanggah lima orang tersebut. Takut dituduh kacau daun dan menentang Islam. Taksub mereka melampaui batas.

“Apa tidaknya pemimpin mencarut, celupar, kuat bohong dan tidak konsisten ditaati membabi buta. Sampai masanya nanti Pas akan pecah,” katanya.

Pada Jumaat media melaporkan lima jawatan tertinggi Pas iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden menarik diri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.