UMNO Aplikasi Aktiviti Berfaedah Elak Golongan Muda Terjebak Gejala Kurang Sihat – Siti Aminah

BEAUFORT, 2 Okt – UMNO sentiasa mengaplikasi pelbagai usaha bagi memastikan ruang dan peluang bersama rakyat dapat dilaksana khususnya perancangan kepada aktiviti anak-anak muda setempat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Siti Aminah Aching memaklumkan bahawa generasi muda perlu melibatkan diri dalam program jati diri dan kepimpinan bagi menghindarkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.

Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, selain didikan dan nasihat dari ibu bapa, peranan pelbagai pihak persatuan-persatuan belia, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan politik dan sebagainya perlu menjayakan apa juga program yang boleh membina jati diri, daya kepimpinan dan konsep kerja berpasukan di kalangan belia.

“Melalui program kepimpinan dan jati diri, generasi muda mampu mencari potensi diri mereka dan menggunakannya ke arah kebaikan sejagat,” katanya ketika berucap dan menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran Pusat Khidmat Parlimen Beaufort bagi merebut piala sumbangan beliau sebagai Ahli Parlimen Beaufort di Kompleks Sukan Beaufort kelmarin.

Aminah juga berkata, Pusat Khidmat Parlimen Beaufort terpanggil untuk menganjurkan kejohanan bola sepak tersebut kerana meyakini ia mampu menarik minat generasi muda dan dijadikan platform untuk memperkasakan modal insan dalam kalangan belia.

“Di samping aktiviti seperti ini juga dapat menerapkan ciri-ciri kerjasama, hormat menghormati dan peningkatan disiplin di kalangan belia.

“Selain itu, aktiviti seperti ini juga dapat mengisi masa terluang golongan belia dari terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat dan dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan khususnya bola sepak di kalangan belia untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut Aminah, kerajaan sentiasa menggalakkan belia-belia aktif dalam kegiatan sukan dengan menyediakan pelbagai kemudahan sukan di setiap daerah dan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Katanya, pewujudan gelanggang-gelanggang sukan seperti futsal adalah usaha kerajaan yang sangat dialu-alukan kerana membolehkan golongan belia mempunyai kemudahan untuk bergiat aktif dalam sukan tersebut.

Dalam perkembangan lain Aminah juga mengingatkan belia-belia supaya memanfaatkan kemajuan teknologi seperti internet, blog, laman sosial Facebook dan X (dahulunya Twitter) untuk perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan bagi membolehkan mereka sentiasa positif dalam menilai pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sebagai generasi yang bermaklumat, kita perlu mengguna pakai ledakan kemajuan teknologi untuk membangun masyarakat, elak mempercayai segala tohmahan dan fitnah di media sosial yang akhirnya akan membawa perpecahan dan merugikan semua pihak, masyarakat dan negara,” katanya.

Sebanyak 32 pasukan dari kawasan Parlimen Beaufort menyertai kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu iaitu dari 30 Sept hingga 1 Okt yang menawarkan hadiah piala dan wang tunai RM3,000 untuk johan, naib johan RM2,000, tempat ketiga RM1,000 serta tempat keempat RM500.

Sementara itu dalam perlawanan akhir pasukan Puarang FT menang tipis 2-1 mengetepikan pasukan Pergerakan Pemuda UMNO tempatan yang menduduki tempat Naib Johan manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh pasukan Beaufort Cops dan Silent FC. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.