PRK Pelangai: Kempen Khidmat Bakti Fokus BN, Isu Nasional ‘Senjata’ PN

BENTONG, 1 Okt – Menawarkan politik khidmat bakti serta memperjelas visi dan misi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menjadi fokus utama jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) meskipun berdepan serangan isu nasional yang dimainkan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Calon BN Datuk Amizar Abu Adam menggariskan ‘Pelangai Gateway’ sebagai visi beliau dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat selain menumpukan aspek pendapatan, perumahan dan penyediaan infrastruktur kepada golongan belia bagi menyambung khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai sebelum ini iaitu Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Bagi merealisasikan hasrat itu, ADUN perlu ‘sealiran dengan kerajaan negeri dan pusat’ menjadi naratif jentera BN.

Sementara itu, isu seperti kekurangan bekalan dan kenaikan harga beras, kos sara hidup serta kerjasama UMNO dengan DAP menjadi ‘senjata’ pembangkang di pentas ceramah pada PRK Pelangai dalam usaha meraih undi.

Sedar akan serangan itu, Presiden Amanah yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilihat kerap turun padang ke Pelangai, kira-kira 132 kilometer dari Putrajaya, untuk menjelaskan situasi semasa mengenai isu bekalan beras.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata jentera BN perlu agresif dalam hal pengurusan persepsi sepanjang baki tempoh kempen dan harus berhati-hati serta tidak berasa terlalu selesa.

“BN kena berwaspada… mereka (pembangkang) banyak main isu nasional kerana isu tempatan dilihat tidak begitu memberi impak.

“Jadi saki-baki kempen ini, BN perlu urus kempen sebaiknya sebelum serahkan segala-galanya kepada kebijakan pengundi di sini yang perlu menilai melangkaui emosi, bersifat rasional dan praktikal atas apa yang sedang berlaku di Pelangai,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Kedah Dr Jazimin Zakaria pula berkata naratif yang kerap dimainkan jentera Perikatan Nasional (PN) dilihat berjaya ditangani dengan baik menerusi hujah berdasarkan data dan fakta oleh jentera BN bersama rakan sekutunya, PH.

Beliau berkata kebanyakan isu yang diketengah oleh pembangkang juga berjaya dikendurkan menerusi kempen BN dan PH yang banyak membawa naratif politik pembangunan.

“Namun naratif (PN) ini jika tidak ditangani dengan baik dalam baki kempen, contohnya isu beras dan harga barang, tidak mustahil boleh membawa gelombang hijau ke Pelangai,” katanya kepada Bernama.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian Johari yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan seorang calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Bagaimanapun, persaingan lebih terarah di antara BN dan PN dengan kempen Haslihelmy dilihat tidak mampu mencabar jentera kedua-dua gabungan politik itu.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.