Masih Ada Pihak Cuba Memusing Cerita Tentang UMNO – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata. masih ada pihak yang cuba memusing-musing cerita seolah-olah UMNO melanggar keputusan ‘No Dap, No Anwar dan No PPBM’.

Sedangkan katanya, keputusan dasar tersebut dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi pada 28 Mac 2021 untuk UMNO hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara solo/bersendirian.

“Setelah keputusan PRU15 pada 20 November 2022 keluar, Allah mentakdirkan tiada siapa yang boleh bentuk Kerajaan. Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan Baginda menitahkan ketua-ketua parti mengadap. Semua 19 parti akur dan hanya satu parti iaitu Perikatan Nasional (PN) tolak.

“UMNO melalui Majlis Kerja Tertinggi 23 November setelah berbincang memutuskan untuk akur dengan titah Agong dan menarik balik keputusan lama ‘No Dap, No Anwar dan No PPBM’ serta meletakkan empat syarat utama termasuk kedudukan Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu, hal berkaitan telah ditimbulkan semula oleh pihak lawan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang sedang berlangsung.

PRK Pelangai pada 7 Okt ini menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam mewakili BN, Kasim Samat daripada Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.
Ia diadakan susulan kematian penyadangnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada bulan lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.