Sudah Tiba Masa Kerajaan Kawal Harga Barangan Asas Sepenuhnya – Muhamad Akmal

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh beranggapan bahawa sudah tiba masanya harga barang-barang makanan asas dikawal dan diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan.

Ini kerana katanya, harga barangan makanan asas itu sepatutnya ditentukan oleh pihak kerajaan, bukannya pihak swasta.

“Sudah tiba masanya semua barang makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula dikawal serta diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan, bukan diberikan hak sepenuhnya kepada pihak swasta.

“Kerajaan perlu menentukan bukan ditentukan oleh mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memberikan respons kepada keratan akhbar yang bertajuk ‘Naikkan Harga 30 Produk, KPDN Tunggu Jawapan Gardenia’.

Semalam, media melaporkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menghantar surat tunjuk sebab pada 27 September lalu kepada Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) mengenai tindakannya untuk menaikkan harga sebahagian produknya.

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh, Gardenia diberi tempoh enam hari untuk menjelaskan justifikasi tindakan tersebut yang dijadual bermula 1 Oktober ini.

Pada 26 September lalu, Gardenia mengesahkan 30 produknya akan mengalami kenaikan harga di antara 10 sen hingga 40 sen mulai Ahad ini.

Antara produk yang mengalami kenaikan harga ialah Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yellow Noodle, dan Numee Keluarga. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.