Isu Kekurangan Beras Tempatan: Johor Tampil Beri Cadangan Kepada Kerajaan Persekutuan

JOHOR BAHRU, 29 Sept – Berikutan isu kekurangan bekalan beras tempatan, Kerajaan Negeri Johor telah tampil memberikan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Pusat bagi mengatasinya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, tindakan segera perlu diambil agar rakyat tidak terus terbeban dengan isu ini tambahan pula dengan situasi perubahan iklim.

“Isu kekurangan bekalan beras tempatan dan kenaikan harga beras import sangat menjejaskan rakyat yang terpaksa berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Dengan perubahan iklim yang tidak menentu atau “climate change”, tindakan segera perlu diambil. Isu keterjaminan makanan bukan sahaja isu negeri, tetapi isu nasional yang perlu ditangani segera oleh semua pemegang taruh, agar rakyat tidak terus terbeban,” katanya.

Menurutnya, beberapa barang makanan asas dilihat mengalami kekurangan bekalan berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan beliau.

“Saya telah membuat lawatan ke beberapa lokasi untuk melihat sendiri keadaan realiti diperingkat akar umbi. Tinjauan mendapati beberapa barang makanan asas seperti beras tempatan, telur, dan minyak paket (subsidi) telah kekurangan stok.

“Perkara ini diambil serius oleh Kerajaan Negeri, dan saya telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Tuan Lee Ting Han serta agensi-agensi berkaitan seperti FAMA, untuk meneliti perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi menampung keperluan rakyat,” katanya lagi.

Selain mewujudkan subsidi beras import, kerajaan Negeri Johor turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan melalukan pembungkusan semula beras kepada pek kecil agar mudah didapati oleh rakyat kurang berkemampuan.

“Beberapa cadangan dari Johor untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu beras termasuklah mewujudkan subsidi beras import sehingga isu bekalan beras tempatan mencukupi, pembungkusan semula beras kepada pek kecil seperti 1kg atau 2kg agar ia lebih mudah dan murah dibeli oleh rakyat yang kais pagi makan pagi.

“Selain itu, Johor menawarkan diri supaya tanah kami dipertimbangkan untuk kegiatan menanam padi dan mempertimbangkan untuk mengimport beras dari negara lain seperti Indonesia yang menawarkan harga beras lebih murah.

“Semoga segala perancangan akan dilaksanakan sesegera mungkin, agar seluruh Bangsa Johor mendapat manfaatnya. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit