Selamat Menyambut Maulidur Rasul, Sirah Perjuangan Baginda Rujukan Berharga – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul dan menekankan bahawa sirah perjuangan dan kehidupan Rasulullah merupakan sumber rujukan amat berharga untuk semua pihak, dalam membangunkan sebuah negara.

Katanya, kelahiran baginda Rasul SAW membawa rahmat ke seluruh alam, menghiasi hati-hati insan dengan cahaya Islam dan iman.

“Bersamalah kita jadikan baginda Nabi Muhammad SAW sebagai ikon dan idola kehidupan yang menjadi suri tauladan membimbing kita ke jalan kebaikan dan berkasih sayang.

“Kegigihan dan keteguhan baginda Nabi SAW di dalam menempuhi cabaran dan kesulitan menyebarkan risalah Islam dengan penuh tekad dan keberanian, menjadi contoh ikutan bahawa kita dituntut untuk sabar, tabah dan istiqamah, di dalam memimpin perubahan demi mencapai kejayaan yang diimpikan.

“Jadikan hari ini, hari untuk kita bersama renungkan dan menerapkan nilai-nilai mahmudah yang ada di dalam diri baginda Nabi SAW untuk dipraktikkan, khususnya di dalam mengukuhkan perpaduan, menghargai kepelbagaian yang Allah takdirkan dan menghormati kerencaman etnik, budaya dan agama di Malaysia,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.