Banjir: Ahmad Zahid Pantau Keadaan Semasa, Arah Agensi Berkaitan Siap Siaga

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan pemantauan terhadap bencana banjir yang melanda beberapa negeri akibat peralihan monsoon.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, seluruh agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) telah diarahkan untuk terus bersiapsiaga.

“Saya memantau keadaan semasa banjir yang kini melanda di Kedah, Perlis, Selangor dan Sabah akibat peralihan monsun pada ketika ini.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah mengarahkan seluruh agensi berkaitan termasuk NADMA, APM dan pasukan keselamatan untuk terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi meskipun Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan notis pemanamatan amaran hujan berterusan peringkat waspada pada pagi ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa yang terjejas akibat musibah tersebut dipermudahkan segala urusan dan mengharapkan agar mereka sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa.

“Saya sentiasa mendoakan agar semua mangsa yang terjejas akibat banjir pada kali ini dipermudahkan urusan dan diberi kekuatan dalam menghadapai musibah yang melanda.

“Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Setakat pagi tadi media melaporkan Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Perlis mencatat peningkatan manakala di Sabah, kekal setakat pagi ini.

Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada 268 orang daripada 81 keluarga pada pagi ini berbanding 177 orang daripada 41 keluarga, malam tadi.

Negeri Indera Kayang mencatatkan jumlah mangsa banjir di Arau meningkat kepada 38 berbanding 18 orang daripada empat keluarga yang direkodkan petang semalam.

Sementara itu, di Sabah, jumlah mangsa banjir dari lima kampung di Beaufort masih kekal 134 orang daripada 46 keluarga setakat 8 pagi ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.