Akmal Beri Amaran Kepada Pengilang Beras, Jangan Ambil Kesempatan Naikkan Harga

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh sekali lagi memaklumkan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan pengilang beras yang berdegil menaikkan harga beras.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka berkata ini kerana, tindakan segelintir pengilang yang mengambil kesempatan telah memberikan bebanan kepada rakyat dalam mendapatkan keperluan asas tersebut.

“Semalam saya pergi ke dua kilang, kilang pertama adalah kilang EMUM 55, alhamdulillah mereka mengikut aturan yang telah ditetapkan jadi kita berpuas hati.

“Kilang kedua seperti yang dilihat saya agak tinggi suara, saya hendak bagitahu yang saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin mengaut keuntungan yang besar ketika rakyat sedang susah sekarang.

“Jadi saya minta kepada semua pengilang, pengedar dan peruncit di Melaka terutamanya, kita akan jejak sehingga ke hujungnya sebab kali ini adalah masa rakyat sedang susah dan inilah masa kita membantu rakyat dan bukan menekan,” katanya.

Terdahulu, beliau menerusi hantaran sebelumnya berkongsi video turun padang dengan menerjah operasi kilang untuk melihat situasi sebenar.

Menerusi video berdurasi tiga minit 24 saat, Dr Akmal mengancam menarik lesen pengilang yang enggan mengeluarkan beras tempatan dengan paket dan harga ditetapkan kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut memaklumkan bahawa akan mengadakan jualan beras di setiap Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) di negeri ini.

Menurut beliau ianya akan bermula pada minggu ini dan beroperasi setiap hari Sabtu dan Ahad.

“Istimewa kepada orang Melaka setiap minggu hari Sabtu dan Ahad di setiap Japerun di dalam negeri Melaka. Insya-Allah kita akan adakan jualan beras tempatan yang akan diberikan di setiap JAPERUN berlaku secara serentak.

“Hari Sabtu ini akan bermula, boleh datang ke mana-mana JAPERUN yang anda duduk, boleh beli beras putih tempatan RM26 untuk 10 kilogram. Setiap Japerun kita bagi dalam 300 kampit beras untuk diedarkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.