UMNO Labuan Teruskan Program Peduli Rakyat Walaupun Harga Beras Naik

LABUAN, 25 Sept – Biarpun negara berdepan masalah isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan beras namun hal ini tidak membantutkan program Peduli Rakyat UMNO Bahagian Labuan yang membabitkan agihan bantuan beras kepada masyarakat.

Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata inisiatif untuk mendekati rakyat dengan menyantuni mereka yang dilanda musibah, kesusahan dan perlukan bantuan melalui Program Peduli Rakyat dengan agihan bantuan beras telah lama dilaksana dan tetap diteruskan.

“Saya bersama kepimpinan UMNO Bahagian Labuan telah turun padang menyampaikan 400kg beras kepada empat keluarga yang akan melangsungkan majlis perkahwinan pada minggu depan.

“Selain daripada sumbangan untuk majlis perkahwinan, turut diadakan penyampaian untuk waris keluarga yang kehilangan insan tersayang di Kampung Layang-Layangan yang dselaraskan oleh Sekretariat Keagamaan dan Khairat Kematian UMNO Bahagian Labuan,” katanya.

Jelasnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, penerima bantuan beras bagi majlis perkahwinan melibatkan empat Cawangan UMNO iaitu Kampung Bebuloh, Kampung Layangan, Kampung Lubuk Temiang dan Kampung Batu Manikar.

“Sessi penyampaian telah diselaraskan oleh Sekretariat Kebajikan dan Kesejateraan Rakyat UMNO Bahagian Labuan bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Labuan.

“Ini adalah inisiatif berterusan yang dilaksana bagi memastikan masyarakat Labuan sentiasa mendapat pembelaan dan tidak berdepan kesulitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan kebimbangan berkaitan kesejahteraan warga Labuan berikutan aktiviti penggorekan pasir khususnya di kampung Pohon Batu sebagaimana dilaporkan baru-baru ini.

Mohd Rafi diiringi oleh beberapa pemimpin masyarakat telah turun padang selepas mendengar keluhan penduduk kampung untuk meninjau sendiri mengenai kegiatan penggorekan pasir yang berlaku.

Katanya, aktiviti itu dibimbangi akan menimbulkan hakisan pantai dan pokok tumbang serta implikasi negatif kepada ekosistem dan alam sekitar setempat.

“Kegiatan penggorekan pasir yang tidak terancang boleh menyebabkan hakisan pantai berlaku serta boleh mendatangkan ancaman kepada ekosistem dan keindahan pantai Pohon Batu yang menjadi tarikan pelancong untuk beriadah.

“Apa yang diharapkan oleh penduduk kampung ialah pasir yang dikorek itu sepatutnya digunakan semula untuk menambak kawasan kawasan pantai sepanjang Kampung Pohon Batu yang terhakis dan bukannya di bawa keluar tanpa sebarang kawalan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, sebagai langkah segera Mohd Rafi telah menghubungi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) agar kegiatan penggorekan pasir berkenaan dihentikan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.