Isu Beras: Kerajaan Tidak Boleh Berkompromi Dengan Pihak Yang ‘Menangguk Di Air Keruh’ – Jalaluddin

JELEBU, 25 Sept – Kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap tindakan sesetengah pihak yang ‘menangguk di air keruh’ dengan menukar kampit Beras Putih Tempatan (BPT) kepada kampit Beras Putih Import (BPI) sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihak kerajaan sudah dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan makanan ruji itu tidak akan terputus.

“Jangan anggap pihak kerajaan dan jentera kerajaan tidak cakna atau sekadar berdiam diri mengenai isu kekurangan bekalan beras di pasaran negara ini.

“Hakikatnya, pihak kerajaan sudah dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan beras di rumah rakyat tidak akan terputus, memandangkan ia merupakan makanan ruji di negara kita.

“Harus diingat bahawa Beras Putih Tempatan (BPT) adalah bahan kawalan pada harga sekitar RM26 bagi setiap sepuluh kilogram (10kg), manakala harga beras putih import pula tidak dikenakan kawalan, atau dengan kata lain ia ditentukan secara bebas oleh kuasa pasaran (hukum ekonomi),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, meskipun masih terdapat rungutan mengenai bekalan beras ini, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga telah memberi jaminan sama kepada rakyat.

“Walaupun masih terdapat beberapa rungutan berkaitan kekurangan bekalan beras di pasaran, namun kita menjangkakan isu ini akan selesai dalam beberapa minggu lagi. Pihak KPKM juga telah memberi jaminan yang sama kepada khalayak umum.

“Cuma, saya suka untuk berpesan mengenai sikap sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menukar kampit BPT kepada kampit Beras Putih Import (BPI) di peringkat pengilang atau pemborong seperti kita telah kesan dalam beberapa operasi bersepadu pihak berkuasa.

“Tujuan mereka bagi mendapatkan keuntungan berganda atas keperitan yang dihadapi rakyat di bawah. Soal saya, dimanakah hilangnya nilai integriti pengilang dan pemborong yang melakukan perbuatan ini?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar tiada sebarang tindakan ‘pembelian panik’ terhadap bekalan beras pada ketika ini dan memberi jaminan bahawa keadaan akan kembali pulih seperti sediakala.

“Saya tidak boleh berkompromi terhadap tindakan sesetengah pihak yang ‘menangguk di air keruh’ sehingga menyebabkan para pengguna/rakyat menjadi mangsa ketamakan sesetengan pengilang dan pemborong ini.

“Pada saya para penipu ini harus diburu pada setiap masa dan dikenakan tindakan undang-undang yang bertepatan dengan Peraturan Kawalan Gred dan Harga serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

“Keduanya untuk para pengguna pula, saya cukup berharap agar tiada sebarang tindakan ‘pembelian panik’ dilakukan pada waktu sekarang. Pilihlah untuk mematuhi syor pihak berwajib, dan selepas itu yakinlah bahawa keadaan akan kembali normal seperti biasa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.