Penasihat SG4… Perhiasan Atau Gimik Politik? – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 24 Sept – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mempersoalkan apakah fungsi penasihat SG4 yang sekarang ini disandang oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Jelasnya, ulasan beliau mengenai keazaman untuk membantu Negeri Kedah agak hebat, namun turut mempersoalkan mengapa perkara tersebut tidak dilaksanakan semasa berkuasa.

“SG4? Hebat Tun M bagi ulasan tentang keazaman nak bantu negeri Kedah, potensi dsbnya. Hakikatnya sebenarnya Tun M pernah ada kuasa dan upaya untuk bantu Kedah. Bila?

“Sewaktu 22 Tahun jadi Perdana Menteri – zaman Datuk Seri Syed Razak Syed Zain jadi Menteri Besar, Kerajaan Negeri dah lama minta pampasan kerana jadi pusat tadahan air, dan tanaman padi.

“Usaha ini diteruskan oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid (Tok Det) selepas beliau ambil alih. Gagal kerana dan Kerajaan Pusat yg diketuai oleh Tun M pada waktu itu beri alasan, negeri lain seperti Pahang pun tak dapat pampasan kerana memelihara hutan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, sewaktu pemerintahan 22 bulan pada era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 1.0, beliau tidak membantu apa-apa pembangunan di negeri tersebut sedangkan pada ketika itu anaknya menjadi Menteri Besar.

“Kerajaan negeri perlu cari hasil lain dan sedia berkorban. Untuk rekod, usaha untuk dapatkan pampasan ini bukan dimulakan oleh Muhammad Sanusi seperti yang di canang selama ini, Datuk Syed Razak yang mula pohon dan mulakan usaha.

“Sewaktu 22 bulan jadi Perdana Menteri pada kali kedua, saat yang paling sesuai sebab pada waktu itu anakanda beliau sendiri jadi Menteri Besar buat kali kedua juga sebelum digulingkan. Namun tiada apa-apa suntikan bantuan yang ‘signifikan’ untuk negeri Kedah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyimpulkan bahawa SG4 ini hanyalah semata-mata hiburan politik baharu untuk rakyat Malaysia.

“Jadi, penasihat SG4 ini untuk apa? Perhiasan? Gimik politik? Ketika ada kuasa pun tak mampu nak bantu Kedah, inikan pula dalam keadaan pencen sepenuh masa dan tiada kuasa. Di tambah pula Tun M telah meletakkan diri beliau dalam posisi permusuhan yang sangat ketara dengan kerajaan pusat.

“Kesimpulan – SG4 ini pelan praktikal dan strategik? Ataupun semata-mata hiburan politik baharu untuk rakyat Malaysia?” soalnya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit