UMNO Wilayah Persekutuan Gesa SPRM Siasat Radzi Jidin

PUTRAJAYA, 22 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat susulan dakwaan rasuah membabitkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin.

Gesaan itu dibuat UMNO Wilayah Persekutuan hari ini susulan dakwaan Ahli Parlimen Putrajaya itu terbabit dalam pemberian kontrak penyelenggaran sekolah dan pencetakan buku J-Qaf.

Beliau berkata, mesej pertama mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama dikenali sebagai Dato Chia yang didakwa membolot projek selenggara sekolah.

“Kami difahamkan individu ini juga adalah kartel dan modus operandinya dengan pergi ke sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus daripada Kementerian Pendidikan atau Pejabat Pendidikan Daerah.

“Dakwaan ini menjadi satu polemik dan kita ingin buat laporan atas dasar kebenaran dan isi kandungan yang ditularkan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan kepada SPRM di sini, semalam.

Radzi dilantik sebagai Menteri Kanan Pendidikan pada Mac 2020 dalam kerajaan yang ditabdir Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Dalam pada itu, Ghulam Muzaffar yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata, satu lagi mesej tular di WhatsApp dikatakan mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak secara terus bagi percetakan buku J-Qaf untuk pra sekolah kepada individu dengan gelaran ‘Tengku’.

Menurutnya, pihaknya turut membuat carian menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati syarikat yang dinamakan dalam mesej terbabit wujud.

“Semakan pemilik syarikat pun turut mendapati nama ‘Tengku’ terbabit turut tersenarai. Kami juga difahamkan isteri Radzi bertindak sebagai proksi kerabat raja bergelar Tengku berkenaan.

“Jadi kami minta supaya SPRM dapat membuat siasatan lanjut tentang isu dan isi kandungan kedua-dua mesej tular itu,” katanya.

Katanya, pihaknya mahu SPRM menyiasat dakwaan itu dan mengesahkan sama ada mesej tular berkait skandal dan penyelewengan itu benar-benar wujud atau sebaliknya. – UTUSAN


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit