Lagi Tak Perikemanusiaan Biar Warga Asing Beli Beras Disubsidi – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan yang mengatakan cadangan tidak menjual beras kepada warga asing sebagai tidak berperikemanusiaan.

Sebaliknya kata Dr Akmal, tindakan membiarkan warga asing membeli beras susbisi lagi tidak berperikemanusiaan ditambah dengan keadaan negara yang berhadapan kekangan bekalan beras tempatan.

“Langkah tidak berperikemanusiaan katanya?

“Lagi tak perikemanusiaan bila rakyat Malaysia hanya mampu tengok sahaja warga asing beli beras tempatan yang disubsidi oleh kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sindiran beliau itu dipercayai kepada Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) yang berkata pembelian beras tempatan dihadkan hanya kepada rakyat Malaysia dianggap tidak masuk akal.

“Bila beras dah cukup dan ada lebihan bagilah (kepada) siapa nak beli, ini isu beras tempatan tak cukup ya datuk.

“Mohon datuk ni pergi turun ke bawah dan lihat sendiri, bukan hanya duduk kat rumah sambil makan beras import,” ujar beliau lagi.

Dr Akmal sebelum ini mempertahankan kenyataannya untuk kerajaan menghadkan pembelian beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia ekoran kenaikan harga disebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Katanya, ianya bukan bersifat diskriminasi sebaliknya mengutamakan bekalan makanan tersebut untuk rakyat Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.