Khidmat Bakti Jalaluddin Di Jelebu Berterusan, Harap Rakyat Fahami Kepentingan Jaga Kesihatan

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap rakyat diberi mesej jelas dan pendedahan sewajarnya berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan.

Katanya di Jelebu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen terus memberi kerjasama baik kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Jelebu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa membudayakan gaya hidup sihat.

“Saya sebut mengenai kepentingan masyarakat kita diberi mesej jelas berkaitan penjagaan kesihatan dan kawalan vektor di kawasan kependudukan.

“Impian saya supaya Parlimen Jelebu ini bebas daripada penyakit berbahaya dan berisiko tinggi,” katanya ketika berkesempatan ke Kampung Orang Asli Putra, Jelebu.

Kehadiran beliau tersebut bagi mengucapkan salam penghargaan atas kehadiran delegasi Integrated Vektor (IVM) Peringkat Antarabangsa ke kampung tersebut.

Menerusi perkongsian berbeza di Facebooknya, beliau juga memaklumkan berkesempatan menghadiri majlis yang dianjurkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Jelebu untuk bertemu dengan ahlinya bagi memberikan sokongan serta harapan beliau dengan pelaksanaan program bermanfaat kepada warga emas.

“PAWE Jelebu memiliki 87 orang ahli yang menjalankan aktiviti harian dalam komuniti. Ia merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Harapan saya untuk PAWE Jelebu cukup tinggi, agar terus aktif dengan program-program keagamaan, program rekreasi, program terapi dan pemulihan, program berbentuk kesihatan dan latihan atau kursus yang bersesuaian dengan komuniti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang.

Beliau juga turut sama menyantuni dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Klawang.

Jalaluddin dalam pada itu berharap bantuan yang disalurkan tersebut dapat meringankan beban mereka yang terjejas dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Kita serahkan sumbangan kepada 328 orang penerima, yang terdiri daripada empat orang penerima barangan keperluan, 34 orang penerima Bantuan Wang Ehsan dan 290 orang penerima Bantuan Baik Pulih Rumah.

“Saya cukup berharap sumbangan ini dapat meringankan beban para mangsa yang mana ada dikalangan mereka sudah kehilangan rumah dan harta benda akibat bencana banjir tempoh hari,” ujar Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu lagi.

Di kesempatan itu beliau juga mengucapkan penghargaan kepada penjawat awam, anggota badan beruniform, badan sukarela, NGO, pihak swasta dan orang perseorangan yang telah membantu urusan rakyat dan mangsa banjir di kawasan Parlimen ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.