Ahmad Zahid Harap Semua Pihak Bantu Kerajaan Capai Agenda Madani

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan agar semua pihak bersama-sama membantu Kerajaan Perpaduan untuk mencapai agenda Madani.

Jelasnya, semua pihak harus menyedari bahawa segala amanah kepimpinan perlu dipikul di pelbagai bidang terutamanya dalam membimbing generasi muda bagi membangunkan masyarakat Malaysia yang adil.

“Pengajaran dari ayat ke-30 dalam Surah Al-Baqarah ini mentaklifkan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Hal ini menekankan bahawa setiap daripada punyai tanggungjawab untuk memimpin dengan menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, menjunjung keadilan, dan menjaga keseimbangan serta keharmonian.

“Kita harus menyedari bahawa kita semua memikul amanah kepemimpinan di pelbagai bidang, sama ada sebagai pemimpin negara, negeri, atau di peringkat yang lebih kecil; sebagai ibu bapa, guru, pekerja atau dalam apa juga peranan dan posisi, kita semua adalah pemimpin.

“…dan dalam perjalanan kita untuk membina Malaysia Madani, kita semua perlu bersama-sama membimbing generasi muda dan membangunkan masyarakat Malaysia yang adil, harmoni, dan berperadaban tinggi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, adalah penting bagi semua pihak mendidik generasi Madani dengan menyuntik nilai-nilai murni.

“Penting bagi kita untuk mendidik generasi Madani dengan menyuntik nilai-nilai kesatuan, perpaduan dan saling menghormati dalam menghargai kepelbagaian, menekankan kepentingan nilai-nilai spiritual, akhlak yang luhur, dan etika yang mulia.

“Kita juga harus berusaha untuk mengurangkan kesenjangan sosial dengan memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan, dan memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda agar mereka turut terlibat dalam proses pembangunan negara.

“Pada hari yang mulia ini, saya berharap agar kita semua menghulurkan tangan sama membantu kerajaan mencapai agenda Madani. Sebagai pemimpin dalam keluarga, marilah didik anak-anak dengan ajaran Islam. Sebagai pemimpin di tempat kerja, laksanakan tanggungjawab dengan telus dan etika yang tinggi. Sebagai pemimpin dalam masyarakat, mari kembangkan perpaduan dan kesatuan dengan semangat saling membantu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa terdapat cabaran besar dan pelbagai ujian hebat dalam memimpin.

“Benar, memimpin bukanlah perkara yang mudah. Cabarannya besar dan ujian-ujiannya hebat. Terkadang kita perlu membuat keputusan sulit yang mungkin tidak disukai dan digemari oleh banyak pihak, dan kita mungkin terdedah kepada kritikan dan tekanan dari pelbagai arah.

“Namun, kita harus memiliki keyakinan yang teguh. Apabila kita telah membuat keputusan, kita bertawakkallah kepada Allah SWT. Lakukan tugas dengan ikhlas dan penuh kesabaran, dan berdoa agar Allah memberikan pertolongan-Nya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menjadi pemimpin yang cemerlang dan diberkati dalam menjalankan tanggungjawab kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.