Peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang: Mereka Patut Tanya Hamzah Kenapa Tolak Rundingan – Mohd Puad

BATU PAHAT, 21 Sept – Ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) sepatutnya mempersoalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menolak perundingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau kasihan melihat gelagat Ahli Parlimen PN yang menyuarakan isu tersebut di Dewan Rakyat beberapa hari lalu.

“Kasihan tengok gelagat Ahli Parlimen PN. Merengek dan terjerit-jerit minta Anwar Ibrahim (PMX) bagi peruntukan khas kepada ahli parlimen pembangkang.

“Terdedah pekung di dada kerana duit peruntukan mahu digunakan untuk melawat orang mati dan menghadiri majlis perkahwinan.

“PMX setuju bagi peruntukan setelah berunding dengan Hamzah selaku Ketua Pembangkang. Tetapi Hamzah menolak untuk berunding,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, Hamzah tidak pernah membantah apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berunding dengan Anwar ketika beliau menjadi ketua pembangkang.

“Masa Ismail Sabri Perdana Menteri ke-9, Hamzah tidak bantah pun apabila Ismail Sabri berunding dengan Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Pembangkang.

“Sebab itu jangan bagi outright grant atau masuk ke akaun Pusat Khidmat YB Pembangkang. Takut ada yang guna, ‘Wallahi saya undi PAS’.

“Ahli Parlimen PN patut tanya Hamzah kenapa tolak perundingan… yang penting dapat peruntukan. ‘Malu apa Ketua Pembangkangku’,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan Ahli Parlimen pembangkang diingatkan supaya tidak angkuh dan sombong dalam usaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka perlu berunding dengan kerajaan seperti yang dilakukan ketika pemerintahan kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jika mahukan dana seperti yang dibangkitkan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu mengkritik kenyataan pemimpin pembangkang yang mendakwa tiada peruntukan diberikan ke kawasan mereka sedangkan katanya, ia hanya melibatkan untuk ahli Parlimen sahaja. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.