Bung Moktar Hulur Bantuan, Mangsa Banjir Dapat Pembelaan Wakil Rakyat

KINABATANGAN, 21 Sept – Wakil Rakyat Kawasan Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin menyerahkan bantuan kepada 33 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir di kampung Cangkul Buang Sayang Bukit Garam, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, bantuan diberikan berupa bekalan makanan termasuklah beras, minyak masak, tepung, susu, sardin, gula, biskut dan barangan keperluan lain.

“Banjir kali ini walaupun agak terkawal namun ia turut menjejaskan kehidupan masyarakat di kawasan ini dan dalam keadaan sekarang kita memahami keperitan serta kesulitan penduduk kampung. Justeru dengan sedikit sumbangan ini kita berharap ia dapat meringankan beban yang mereka pikul,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Bantuan di bawah program Ehsan Kasih Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat itu diselaraskan secara kolaborasi antara kakitangan Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kinabatangan, Pejabat DUN Lamag, UMNO Bahagian Kinabatangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kinabatangan yang turun padang seterusnya mengagih-agihkan sumbangan kepada para penerima di sini.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, sebaik mengetahui terdapat beberapa kampung dan kawasan yang terjejas, pihaknya terus menghantar pasukan untuk gerakan membantu mangsa banjir yang terlibat.

“Kinabatangan agak sinonim dengan banjir terutamanya pada musim hujan dan yang terkesan awal adalah penduduk yang tinggal berhampiran sungai Kinabatangan.

“Apabila hujan berterusan kita sering meminta mereka yang tinggal berhampiran sungai agar sentiasa berwaspada dan bersiap siaga, dalam masa yang sama pihak kita juga bersiap siaga bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Bung menambah setakat ini belum ada laporan dari pihak berkuasa POKB dan JPAM penduduk yang terjejas banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, bagaimanapun keadaan ini akan terus dipantau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.