Shaiful Hazizy Sifatkan ‘Serangan Terpilih’ Syed Saddiq Sekadar Mahu Kekalkan ‘Rating Politik’

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melihat ‘serangan terpilih’ berterusan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung kes yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dibebaskan tanpa dibebaskan (DNAA) menimbulkan seribu satu persoalan.

Ini kerana jelasnya banyak lagi perkara atau senario lain yang berada di depan mata, namun Ahli Parlimen Muar itu seolah-olah membisu malah memperlihatkan beliau hanya sekadar dambakan ‘rating’ politik.

“Tahu tak apa yang saya nampak? Dendam dan dambaan untuk menjadi popular selepas sekian lama dipinggirkan. Persoalan saya… memoir bekas peguam negara yang ditulis tanpa paksaan dan secara sukarela? Saya tak dengar suara beliau mohon disiasat dan kesungguhan untuk mengetahui kebenaran?

“Keduanya memo pejabat peguam negara yang bocor? Kenapa tak desak respon segera daripada pejabat peguam negara? Apa yang menyuntik motivasi bekas peguam negara yang mengarahkan pendakwaan dijalankan tanpa sebarang penangguhan? Tak nak tahu kebenaran?” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah bagaimana pula pendiriannya dengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih bersembunyi.

“Menantu Muhyiddin yang masih bersembunyi? Tak nak desak supaya beliau segera kembali untuk disoal siasat SPRM? Berani kerana benar? Kesimpulannya adalah ini adalah ‘serangan terpilih’ Syed Saddiq, beliau sememangnya tak nak tahu kebenaran, beliau hanya dambakan ‘rating’ politik untuk terus relevan dan popular,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.