Segerakan RCI Memoir Tommy Thomas, Tun Mahathir Punca Ketidakstabilan Negara – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Tun Dr Mahathir telah memuat naik satu kenyataan di Facebook beliau mengenai keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hal ini, Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menganggap bahawa dengan keadaan Tun Mahathir ternyata sangat emosional dan berniat jahat di samping ada beberapa pembuktian komplot dan konspirasi jahat politik.

Katanya, pendakwaan terhadap Ahmad Zahid dengan kehadiran memo bocor daripada pejabat Peguam Negara serta memoir bekas peguam negara Tommy Thomas langsung tidak disentuh.

“Pendakwaan terhadap Datuk Seri Zahid membuktikan wujudnya satu ‘drive’ ataupun tekanan yang sangat tinggi daripada Tun Mahathir sendiri hasil daripada dendam amarah bermula daripada sebelum PRU (Pilihan Raya Umum) yang ke-14 lagi.

“Umum mengetahui akan modus operandi Tun Mahathir yang sering menggunakan institusi perundangan sebagai perkakas beliau membunuh musuh politik.

“Arahan membubarkan UMNO, Tun Mahathir sendiri berulang kali mengaku bahawa beliau mengancam Presiden UMNO dengan meletakkan UMNO sebagai tebusan. Ancaman ini juga terjadi akibat keresahan Tun Mahathir sendiri yang takut akan kemungkinan UMNO akan kembali sebagai sebuah parti yang dominan pada waktu. Arahan jelas terhadap Presiden UMNO itu sendiri membuktikan bahawa wujudnya intimidasi dan ugutan politik terhadap Datuk Seri Zahid,” katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujar Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok, Tun Mahathir sangat terdesak untuk kembali relevan.

“Bagi saya kenyataan Tun Mahathir ini umpama ingin menunjukkan ‘kebersamaan’ baru beliau untuk kekal relevan bersama PN (Perikatan Nasional). Sudah sedia maklum kesediaan Tun Mahathir untuk menjadi penasihat khas di empat buah negeri di bawah PN dan sebelum ini keterlibatan beliau di kebanyakan pentas ceramah PN.

“Oleh yang demikian saya mendesak agar kerajaan ‘menyegerakan’ pembentukan Suruhanjaya (Siasatan) Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan memoir bekas peguam negara.

“Saya yakin Suruhanjaya Diraja ini adalah satu-satunya harapan untuk rakyat Malaysia diberi pendedahan akan wujudnya seorang bekas pemimpin negara yang sangat kejam dan rakus membunuh musuh politiknya dengan memperalatkan institusi perundangan. Sumbangan Tun Dr Mahathir merosakkan negara seharusnya segera dinoktahkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.