Pupuk Perpaduan Menerusi Sukan… Rais Sifatkan Langkah Terbaik

TANGGA BATU, 19 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin melihat program kesukanan mampu membentuk perpaduan dan hubungan erat masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang politik sekaligus mengukuhkan lagi perpaduan sedia ada.

Lantaran itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu bersama JPKK dan KRT Kampung Paya Rumput mengambil inisiatif mengadakan Karnival Sukan dan Kenduri Kampung Paya Rumput dengan penglibatan menyeluruh penduduk setempat.

“Kita lupakan politik seketika dan syukur, Karnival Sukan dan Kenduri Kampung Paya Rumput berlangsung dengan jayanya pada Ahad. Acara berkenaan cukup gilang-gemilang, dan ia diadakan di tempat di kampung kelahiran saya. Masing-masing amat teruja kerana dapat bertemu dengan kebanyakannya wajah-wajah pakcik, makcik, saudara-mara dan kawan-kawan yang dikenali sejak kecil lagi.

“Antara sukan menarik yang dipertandingkan adalah futsal, tarik tali dan lain-lain. Selain itu turut diadakan perlawanan persahabatan tarik tali antara ‘oghang-oghang’ kuat Paya Rumput dan abang-abang bomba. Boleh tahan mencungap… suasana meriah membuatkan saya mengimbau memori sukaneka rakyat zaman dahulu.

“Inilah yang kita mahukan… selain menitikberatkan soal pembangunan dan agenda kebajikan rakyat, kita juga tidak melupakan asas permuafakatan yang tentunya memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat. Alhamdulillah,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Melaka seterusnya menambah sudah tiba masanya aspek berkenaan dititikberatkan dalam generasi kecil hari ini supaya kesinambungan dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Subhanallah, pantas masa berlalu. Kini tiba masa untuk kita pupukkan dalam jiwa generasi kecil tentang semangat perpaduan dan ukhuwah mahabbah dalam jiwa.

“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada barisan warga JPKK dan KRT Kampung Paya Rumput yang berkolaborasi untuk menganjurkan program mesra rakyat sebegini. Semoga kita dapat berterusan mewujudkan acara-acara sebegini di masa hadapan insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.