Kerajaan Tegas Pertahan Hak Kedaulatan Negara Termasuk Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Kerajaan sentiasa tegas mempertahankan keutuhan wilayah, hak kedaulatan dan kepentingan negara termasuk membabitkan Laut China Selatan, kata Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin.

Katanya kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melaksanakan rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim untuk memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.

“Semua agensi penguatkuasaan dan pemantauan maritim negara sentiasa komited untuk pastikan hak kedaulatan Malaysia akan kekal terpelihara.

“Apabila berlaku insiden-insiden pencerobohan kapal-kapal asing di dalam perairan negara, kerajaan sentiasa konsisten telah mengemukakan notis bantahan kepada kerajaan mana-mana kapal asing milik negara tersebut yang didapati menceroboh perairan negara ini.

“Tindakan tersebut diambil selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia untuk mempertahankan hak tuntutan perairan negara.

“Tindakan ini juga sebagai langkah bahawa Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan negara-negara berkenaan Laut China Selatan termasuk China apabila tuntutan tersebut melibatkan perairan negara berdasarkan Peta Baharu Malaysia 1979,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Alamin turut memaklumkan bahawa kerajaan menyedari bahawa isu membabitkan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif kerana ia melibatkan hubungan antarabangsa.

“Oleh demikian isu ini perlu dikendalikan secara menyeluruh dan setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif

“Dalam hal ini malaysia komited untuk menangani isu ini secara konstruktif mengikut forum dan saluran diplomatik yang sesuai,” ujar beliau.

Mohamad Alamin juga memaklumkan bahawa kerajaan telah mengemukakan bantahan diplomatik kepada China berhubung Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Menurut beliau bantahan diplomatik itu dikemukakan kepada kerajaan China pada 11 September lalu.

“Kerajaan dengan tegas menolak tuntutan hak kedaulatan dan bidang kuasa China ke atas kawasan maritim di Laut China Selatan yang meliputi kawasan maritim malaysia berdasarkan Peta Baharu Malaysia 1979.

“…. kerana ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.