Taktik Politik Murahan, Cukup-cukuplah Buat Himpunan Untuk Jatuhkan Kerajaan – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan membidas kumpulan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) yang melaksanakan Himpunan Selamatkan Malaysia mengunakan isu DNAA YAB Datuk Seri Zahid Hamidi pada Sabtu lalu yang dianggap lucu dan bersifat politik murahan.

Ini kerana katanya isu DNAA sebagaimana yang dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah dihadapi oleh kepimpinan dalam PN sendiri.

“Isu DNAA Datuk Zahid Hamidi adalah satu perkara yang sebenarnya tidak mengejutkan Perikatan Nasional kerana mereka sendiri juga pernah melakukan perkara yang sama terhadap pemimpin mereka dan sekutunya. Sebelum ini PN cukup percaya dan yakin sehingga mengeluarkan kenyataan beberapa kali mendakwa yakin dan percaya kepada Badan Kehakiman dan Perundangan Negara lebih-lebih lagi jika melibatkan pembebasan pemimpin mereka.

“Namun demikian taktik politik murahan mereka terserlah apabila hal sama berlaku kepada pihak lawan. Apabila keputusan mahkamah melepaskan YAB Datuk Seri Zahid maka mengapa himpunan diadakan sedangkan hal yang sama telah berlaku pada pimpinan mereka sebelum ini. Berlaku adillah wahai PN jika orang lain juga diputuskan mahkamah yang nyata telah mengikut lunas-lunas undang-undang yang ada dalam negara kita.

“Sebenarnya tujuan asal mereka semalam ialah nakkan populariti dengan cuba jatuhkan Kerajaan Perpaduan menggunakan isu DNAA ini. Mereka mahukan Kerajaan Perpaduan berpecah-belah. Kepimpinan PN berpandangan selagi Datuk Seri Zahid Hamidi menjadi Presiden UMNO, maka selagi itu Kerajaan Perpaduan akan kekal berkuasa dan UMNO tidak akan memberi sokongan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Jelas Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, PN tidak dapat menerima kenyataan bahawa sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada Kerajaan Perpaduan sebenarnya bukan hanya kerana Ahmad Zahid tetapi lebih kepada menjunjung Titah Tuanku Agong dan menyelamatkan negara daripada krisis politik selepas PRU15.

“Justeru, nasihat saya kepada yang masih rindu dan harapkan sokongan UMNO, jom masuk balik UMNO dan sokong parti yang telah banyak berjasa malah memberikan sumbangan kesenangan serta kekayaan kepada kepimpinan Perikatan Nasional yang kebanyakkannya adalah bekas-bekas ahli UMNO.

“Untuk makluman semua, sehingga saat ini pihak Perikatan Nasional masih lagi memujuk Ahli Parlimen BN untuk mendapat sokongan. Cukup-cukuplah buat kerja tebuk atap ini, kita kena ‘move on, dan hormati mandat rakyat, malah hargai kesejahteraan yang kembali kita nikmati.

“Janganlah kerana tidak sabar menunggu 4 tahun lagi mahu bawa rakyat kejalanan untuk rampas kuasa. Ahli Parlimen BN yang ada sekarang mempunyai pendirian yang teguh dan tidak akan menjadi ‘katak’ seperti kebanyakan yang ada di pihak sebelah.”

Tegasnya, sambutan Hari Malaysia baru sahaja dilaksana 16 Sept maka sewajarnya tunjukkan sikap hormat-menghormati, kasih dan sayangkan kepada negara lebih daripada segalanya.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanahair, semua kena ‘move on’ dan pihak Kerajaan perlu jalankan tanggungjawab bangunkan negara serta bantu rakyat yang agak terbeban dengan kos sara hidup yang agak tinggi sekarang ini.

“Pihak pembangkang perlu menjadi semak dan imbang kepada Kerajaan dengan baik dan bekerja secara profesional. Cukup-cukuplah kita semua berpolitik 24 jam, 365 hari di tahun 2023 ini. Tunjukkanlah rasa kasih dan kasihan pada rakyat yang mahukan pembangunan dan pembelaan.

“Saya dan UMNO Labuan menerima kekalahan dengan hati yang terbuka di Labuan. Saya tidak pernah mengkritik atau memperkecilkan YB Dato Suhaili Abd Rahman selaku Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang telah dipilih oleh pengundi Labuan pada PRU lepas, namun saya berdoa dan mengharapkan beliau selaku wakil rakyat dapat laksanakan amanah yang tergalas.”

Beliau juga berharap PN juga perlu bersikap sedemikian agar semua terus membantu dan dapat membangunkan negara ke arah yang lebih baik.

“Kepada YAB PMX kita, teruskan usaha Datuk Seri untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik dan cemerlang. Majoriti rakyat berdiri teguh di belakang Datuk Seri selepas Malaysia mengalami kejatuhan dari pelbagai aspek khususunya selepas dunia menghadapi penyakit Covid-19 pada tahun 2020.

“Kepada YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, teruskan kerja membantu dan membela rakyat. Pengalaman yang ada pada Datuk Seri amat diperlukan oleh Kerajaan Perpaduan. Kami daripada kepimpinan akar umbi UMNO akan sentiasa di belakang dan menyokong Datuk Seri Presiden UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.