Pemuda PN Cetek, Ahmad Zahid Yang ‘Selamatkan Malaysia’ Daripada Parlimen Tergantung – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim membidas Pemuda Perikatan Nasional (PN) ekoran demonstrasi Selamatkan Malaysia yang diadakan baru-baru ini apabila ada dalam kalangan mereka membawa sepanduk ‘dakwa Zahid’.

Katanya, tindakan itu bersifat cetek kerana mereka sepatutnya menyedari bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah menyelamatkan Malaysia ekoran negara berhadapan kemelut pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Di sini, saya ingin mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin Pemuda PN yang terlibat dan haters Ahmad Zahid bahawa figura inilah yang sebenarnya menyelamatkan Malaysia daripada Parlimen tergantung dan ketidaktentuan politik selepas PRU15 ialah beliau itu sendiri.

“Keputusan berani Ahmad Zahid dilakukan demi negara untuk menjadi sebahagian dari Kerajaan Perpaduan yang dipinta oleh Yang di-Pertuan Agong telah menoktahkan segala kecelaruan politik ketika itu. Jangan lupa itu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Batu itu lagi risiko keputusan dibuat oleh Ahmad Zahid amat dibenci oleh PN dan musuh politik pemimpin itu apabila beliau lebih memikirkan keutamaan negara dari populariti dirinya.

“Dia miliki keberanian untuk bangsanya, tiada pertikaian! Walaupun hakikatnya dia tak didendang tapi dikeji, dihina, difitnah dan dimalukan sebagai Presiden UMNO.

“Sebagai seorang ahli UMNO, kita wajib mempertahankan hujah bahawasanya Ahmad Zahid yang sebenarnya telah menyelamatkan Malaysia,” ujar beliau.

Tambah Gulam Muszaffar lagi, Pemuda PN sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi iaitu ingin mempertahankan pemimpin-pemimpin mereka yang sedang bergelut dan kesuntukkan masa dengan kes mahkamah.

“Mereka dengan harapan jika berubah kerajaan kes mahkamah mereka akan digugurkan. Itu gerakan dan objektif sebenar mereka.

“… yang pasti Kempen Selamat Malaysia oleh Pemuda PN telah berjaya dilaksanakan iaitu Kempen 10,000 langkah untuk promosi kesihatan apabila berjalan kaki dari Masjid Kampung Bahru ke Sogo. Kementerian Kesihatan amat suka program sebegini.

“Apa kata kita ahli-ahli UMNO kena buat kempen Mencari Menantu Midin yang hilang dan misteri di mana dia berada utk kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.