Kes Najib: UMNO Pekan Buat Laporan Polis, Memo Tular Bukti Wujud Salah Guna Kuasa

PEKAN, 18 Sept – UMNO Bahagian Pekan telah membuat laporan polis berdasarkan memo tular mengenai kes dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipercayai wujud salah guna kuasa.

Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, memo dalaman Jabatan Peguam Negara yang tular itu mendakwa bahawa tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri adalah tidak berasas dan sepatutnya dibatalkan.

“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan mewakili semua kepimpinan sayap dah ahli-ahli telah membuat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

“Laporan Polis berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa memo dalaman Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019 oleh Datuk Jamil Bin Aripin, pendakwa utama kes IPIC melibatkan tuduhan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kini sedang dihadapkan ke mahkamah tinggi bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Memo tersebut dialamatkan kepada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas (yang pada masa itu masih merupakan Peguam Negara) bagi memberitahunya bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan seharusnya dibatalkan. Pandangan ini dikongsi oleh seluruh pasukan pendakwaan IPIC,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, memo tular tersebut turut menunjukkan bahawa tuduhan telah dibuat tanpa sebarang siasatan sewajarnya dan tiada seorang pun saksi didakwa menyokong tuduhan tersebut.

“Selain itu, memo tersebut menunjukkan bahawa tuduhan terhadap Datuk Seri Najib telah dibuat sebelum sebarang siasatan yang sewajarnya dijalankan terhadapnya. Memo tersebut menekankan bahawa tidak ada penilaian atau pertimbangan yang betul terhadap bukti sebelum tuduhan dikenakan terhadap Datuk Seri Najib.

“Selanjutnya, memo tersebut mendapati apabila siasatan dijalankan (selepas tuduhan dibawa ke mahkamah), tiada seorang pun daripada 138 saksi yang ditemu bual menyokong tuduhan terhadap Datuk Seri Najib dan tidak menunjukkan sebarang jenayah dijalankan beliau.

“Berdasarkan penemuan ini, saya percaya Peguam Negara dan ahli-ahli kerajaan pada masa itu telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengemukakan tuduhan terhadap Datuk Seri Najib tanpa sebarang asas undang-undang atau fakta bagi tujuan politik mereka yang telah menyebabkan mudarat dan fitnah (kecederaan),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa kes IPIC yang ditanggung oleh Mohd Najib adalah satu penganiayaan politik.

“Timbalan Pendakwaraya, Muhamad Saifuddin Hashim Musaimi dilaporkan oleh media hanya menjawab ‘tiada komen’ apabila diajukan soalan tentang memo dalaman ini oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin semasa prosiding sebutan kes ini di mahkamah semalam, 15 September 2023.

“Saya membuat laporan polis ini supaya polis dapat menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 167 Kanun Keseksaan berkenaan penyediaan dokumen yang salah (iaitu tuduhan dan izin untuk mendakwa oleh Peguam Negara) dengan niat jenayah untuk menyebabkan kecederaan terhadap Datuk Seri Najib.

“Saya juga percaya bahawa terdapat kesalahan lain dalam Kanun Keseksaan dan Akta SPRM 2009 yang boleh disiasat oleh polis berdasarkan fakta-fakta. yang dinyatakan di atas. Kes IPIC yang sedang ditanggung Datuk Seri Najib dilihat sebagai satu penganiyaan politik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.